KUALA LUMPUR, 11 Mac — Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja menutup tirai hari ini dengan 110 Ahli Parlimen mengambil bahagian sepanjang tujuh hari persidangan Dewan Rakyat bermula 1 Mac.

Pelbagai isu dibangkitkan Ahli Parlimen pembangkang dan penyokong kerajaan dan paling menonjol adalah berkaitan banjir, rasuah serta politik yang turut disentuh dalam titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-14 pada 28 Feb lepas.

Tidak kurang juga ada dalam kalangan wakil rakyat yang ‘berkempen’ apabila menyentuh mengenai Pilihan Raya Negeri Johor sehingga ‘ditegur’ Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Isu-isu berkaitan perubahan iklim, banjir, tuntutan pertambahan kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak serta tuntutan waris Kesultanan Sulu melibatkan pampasan bernilai RM62 bilion terus diberi tumpuan Ahli Parlimen pada minggu kedua persidangan ini.

Isu-isu itu disentuh dalam sesi perbahasan mahupun sesi soal jawab yang menuntut langkah sewajarnya diambil oleh kerajaan bagi menanganinya.

Cadangan penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak disentuh Ahli Parlimen dari dua negeri itu pada sesi perbahasan dan mereka turut mencadangkan agar persempadanan semula kawasan pilihan raya dilaksanakan bagi menjadikan komposisi agihan kerusi untuk dua negeri itu lebih seimbang.

Tuntutan pembayaran pampasan waris Sultan Sulu turut mendapat perhatian wakil rakyat dari Sabah yang mengemukakan usul mengenai perkara itu, tetapi ditolak oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Bagaimanapun ia dijawab dengan panjang lebar oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada sesi Pertanyaan Menteri, yang menjelaskan bahawa kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf  tuntutan berkaitan arahan pembayaran pampasan berjumlah RM62.59 bilion (US$14.92 bilion) kepada waris Sultan Sulu yang diputuskan oleh Mahkamah Arbitrasi Paris, Perancis.

Bukan Ahli Parlimen kalau tidak menyentuh mengenai politik, baik ketika berbahas atau mencelah pada sesi soal jawab dan minggu ini menyaksikan rata-rata wakil rakyat daripada blok pembangkang menyuarakan tidak setuju pilihan raya diadakan baik negeri mahupun umum, sebaliknya mahu kestabilan politik dikekalkan untuk memastikan proses pemulihan pascapandemik COVID-19 dapat dilaksanakan.

Turut disentuh minggu ini ialah pemerkasaan institusi Parlimen yang dibangkitkan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang mencadangkan pemerkasaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mempunyai ‘taring’ memanggil pegawai kerajaan ke mesyuarat jawatankuasa Parlimen untuk memberikan keterangan terhadap sesuatu isu jika perlu.

Sambutan Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac turut mencuri tumpuan di Dewan Rakyat apabila rata-rata Ahli Parlimen dan menteri serta timbalan menteri menzahirkan ucapan ‘Selamat Hari Wanita’ semasa bertanya soalan atau berbahas.

Malah Parlimen buat pertama kali mengadakan program ‘Bual Bicara Bersama YB’ sempena Sambutan Hari Wanita 2022 dengan tema ‘Saksama Bersama’ sebagai pengiktirafan sumbangan dan jasa wanita dalam mendukung dasar kerajaan, selain bakal dijadikan acara tahunan bagi membincangkan topik berkaitan wanita.

Persidangan kali ini berlangsung selama 16 hari bermula 28 Feb sehingga 24 Mac.

Minggu depan persidangan akan menyaksikan pihak kerajaan menggulung perbahasan bagi menjawab isu-isu yang dibangkitkan oleh kesemua 110 Ahli Parlimen itu. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here