KUALA LUMPUR, 16 Mac — Butiran mengenai pengeluaran khas simpanan persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga RM10,000 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini akan diperincikan oleh KWSP dalam masa terdekat.

 Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam satu kenyataan berkata KWSP juga akan mengumumkan langkah-langkah yang perlu bagi menangani isu dana persaraan ahlinya yang telah berkurangan.

Perdana Menteri dalam satu sidang media khas hari ini berkata kerajaan membenarkan pengeluaran khas caruman KWSP itu bagi meringankan beban Keluarga Malaysia yang masih terkesan susulan pandemik COVID-19.

Ismail Sabri berkata walaupun keputusan itu sukar dibuat kerana melibatkan simpanan hari tua rakyat, namun pengeluaran khas itu adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.

Beliau, bagaimanapun merayu kepada pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak dan berharap mereka membuat pertimbangan sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran.

Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik itu melanda negara dua tahun lepas.

Tiga program pengeluaran khas KWSP itu merupakan pengeluaran prapersaraan yang diperkenal sebagai langkah sementara bagi membantu kelangsungan hidup ahli dalam menempuh impak pandemik COVID-19 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam kenyataan berasingan, KWSP berkata tatkala negara sedang membangunkan semula ekonomi dan lebih ramai rakyat kembali bekerja, ia berpendapat bahawa pengeluaran kali ini adalah yang terakhir di bawah inisiatif pengeluaran khas.

“KWSP ingin menekankan sekali lagi kebimbangannya mengenai kecukupan simpanan persaraan ahli dan berharap ini akan membawa ke arah pembinaan semula simpanan persaraan dan pembaharuan sistem keselamatan sosial negara,” kata dana pencen itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here