JAKARTA, 2 Jun — Penundaan penghantaran 148 tenaga kerja Indonesia (TKI) untuk sektor perladangan Malaysia pada Selasa lalu berpunca masalah visa dan dokumen tidak lengkap.

Ketua Badan Perlindungan Pekerja Migran Indonesia (BP2MI) Benny Ramdhani berkata TKI memerlukan visa kerja sebagai satu daripada syarat ke negara penempatan tetapi visa dimiliki mereka bukan visa kerja.

Orientasi pra-pemberangkatan (OPP) juga belum dilaksanakan kerana dokumen belum memenuhi syarat perundangan, katanya sebagaimana dilaporkan Antara.

OPP adalah aktiviti memberikan maklumat kepada calon tenaga kerja yang akan mula bekerja ke luar negara agar mempunyai persiapan mental, pengetahuan mengenai hak dan kewajipannya.

Semasa taklimat media, Benny turut menjelaskan 23 orang dari 148 tenaga kerja itu juga masih belum memenuhi syarat atau masih memerlukan dokumen lain untuk mengikuti OPP.

Bagaimanapun 125 orang yang memenuhi syarat akan menjalani OPP hari ini hasil koordinasi dengan Kementerian Ketenagakerjaan Indonesia.

“Selepas OPP bolehkah mereka berlepas? Bukan bidang kuasa BP2MI tetapi Imigresen Indonesia,” kata Benny.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here