KUALA LUMPUR, 17 Jun — Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan idealisme dan prinsip perjuangan parti itu sebagai jati diri beliau.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Ahli Parlimen Gombak itu dalam kenyataan hari ini, turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin atas keyakinan beliau terhadap iltizam dan komitmennya bersama Bersatu, sebagai wadah politik dan perjuangan demi rakyat.
“Idealisme perjuangan Bersatu yang meliputi norma kehidupan serta dasar prihatin yang mengangkat martabat rakyat, telah berjaya menjana kemakmuran demi kesejahteraan rakyat.
“Kita akan terus bergerak sederap bersama seluruh anggota Bersatu, untuk membangunkan sebuah kerajaan yang bersih, telus, berintegriti dan komited terhadap prinsip tadbir urus yang baik, serta memperjuangkan keadilan sosial demi kemakmuran bersama seluruh rakyat,” katanya.
Pada Selasa, Muhyiddin dilaporkan berkata desas-desus beberapa ahli Bersatu antaranya Mohamed Azmin dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon akan keluar parti adalah tidak berasas.