MELAKA, 6 Sept — Kerajaan Melaka sedang dalam perbincangan dengan beberapa syarikat penerbangan dari India dalam usahanya menarik lebih ramai pelancong ke Melaka, khususnya dari selatan negara berkenaan.

Exco Pelancongan dan Warisan Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata perkara itu berdasarkan kepada potensi yang dapat dilihat, menerusi lawatan dan perbincangan dijalankan bersama Kementerian Pelancongan India baru-baru ini.

“Kita melihat potensi pelancongan itu terutamanya pelancong dari wilayah seperti Kochi, Kerala dan Tamil Nadu, yang mempunyai populasi lebih 600 juta penduduk, dengan kebanyakannya merupakan golongan pertengahan selain mempunyai kuasa beli yang tinggi.

“Untuk itu, kita sedang dalam rundingan dengan beberapa syarikat bagi melakukan penerbangan terus dari India ke negeri ini, menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Festival Pengantin Melaka di salah sebuah pusat beli belah di Peringgit, yang turut dihadiri Pengurus Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Saari Basiron.

Dalam pada itu Muhammad Jailani berkata sempena musim cuti persekolahan ketika ini, pihaknya menyasarkan kunjungan lebih 200,000 pengunjung melawat Melaka sepanjang tempoh sepuluh hari tersebut.

Katanya sasaran itu yakin dapat dicapai menerusi jumlah pengunjung yang direkodkan mengunjungi produk-produk pelancongan utama seperti Melaka River Cruise, Menara Taming Sari dan Zoo Melaka, yang mencatatkan kutipan tiket lebih 20,000 sehari pada Jumaat hingga Ahad.

“Kita juga dimaklumkan lebih 48,000 bilik hotel di seluruh negeri ini juga penuh, selepas menerima banyak tempahan sepanjang cuti persekolahan hingga Ahad nanti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here