KUALA LUMPUR, 4 Okt — Sudah tiba masanya untuk mewujudkan satu penyelesaian terhadap kebergantungan ekonomi global ke atas dolar Amerika Syarikat (AS) selain dasar yang lebih saksama serta menguntungkan dunia berbanding segelintir pihak tertentu.
Ketika menegaskan perkara itu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ini juga sejajar dengan kedudukan Asia yang mempunyai sejumlah 4.7 bilion penduduk dan tidak dinafikan menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi global.
“(Nasib) ekonomi Asia ini seolah-olah terus ditentukan oleh tindak-tanduk keputusan serta turun naik pasaran di benua lain. Saya bukannya menggalakkan supaya mata wang dolar AS itu digantikan dengan mata wang lain seperti yang dinyatakan oleh pihak lain.
“Malaysia kekal komited terhadap kerangka kewangan global yang ada tetapi pada kesudahannya, ini merupakan persoalan yang perlu dipertimbang oleh negara-negara dagangan yang lebih kecil walaupun ianya tidak semudah atau selesa mana,” katanya pada acara Forum Megatrends Khazanah 2022 di sini, hari ini.
Mengulas selanjutnya, Tengku Zafrul berkata bersandarkan kedudukan unik dolar AS sebagai mata wang rizab dunia yang sering meningkat ketika tempoh tidak menentu, kedudukan satu-satu mata wang berbanding dolar tersebut, khususnya dalam jangka pendek, juga bukanlah pengukur keadaan ekonomi sesebuah negara.
“Dunia yang mana negara-negara utama boleh memberi kesan sebaliknya terhadap trajektori pertumbuhan lainnya, termasuk Malaysia, bukanlah sesuatu yang mampan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa ketika dasar-dasar tertentu hanya menguntungkan satu negara kuasa besar secara domestik, tetapi (pada masa sama) ia tidak harus menjejaskan yang lain serta berpotensi menggugat kemakmuran global.
“Perlu wujud rasa tanggungjawab serta adil ke arah pertumbuhan global secara kolektif selain kerjasama dan penyelarasan monetari yang lebih baik.
“Sudah tiba masanya usaha itu dilakukan dengan mewujudkan Mekanisme Kerjasama Monetari adil serta turut mengambil kira keperluan unik negara-negara kecil, sedang pesat membangun secara saksama,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, biarpun platform dialog itu sememangnya penting, namun tindakan adalah jauh lebih utama dan bukanlah sesuatu yang asing kerana pernah dilaksanakan sebelum ini.
Malah, katanya, institusi-institusi sedia ada seperti Bank of International Settlements (BIS) dan Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO) turut berperanan penting dalam membantu negara-negara sedang dan pesat membangun.
“Kos pertumbuhan yang tidak setara antara negara-negara atau deglobalisasi adalah tinggi terutamanya ketika kita perlu menangani isu-isu global seperti kemiskinan dan kemampanan.
“Bahkan, inilah isu-isu yang telah saya bangkitkan dengan rakan-rakan sejawatan lain sejak beberapa minggu lepas dan antara beberapa idea yang akan saya bawa ke mesyuarat Tabung Kewangan Antarabangsa serta Mesyuarat Musim Luruh Bank Dunia pada akhir bulan ini,” katanya.
Menurut Tengku Zafrul, sebagai negara sedang pesat membangun dan menyasarkan untuk muncul sebagai negara berpendapatan tinggi, Malaysia perlu terus menyuarakan mengenai kepentingan dasar global serta persekitaran kawal selia yang lebih saksama.