KUALA LUMPUR, 16 Nov — Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas pada Jumaat ini (18 Nov) bagi membincangkan penetapan tarikh-tarikh penting untuk urusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai.
Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata ini susulan kematian calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi berkenaan M. Karupaiya hari ini.
Menurutnya satu kenyataan media akan dikeluarkan selepas mesyuarat itu.
“SPR telah menerima Writ Pilihan Raya yang dipulangkan oleh Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya berkenaan menyatakan fakta berkaitan kematian calon,” katanya dalam kenyataan hari ini.
SPR juga mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang dan berharap semoga keluarganya tabah menghadapi kehilangan mendiang.
Karupaiya, 69, yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Padang Serai meninggal dunia hari ini dan perkara itu disahkan Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Karupaiya sepatutnya menghadapi saingan enam penjuru menentang lima lagi calon iaitu Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Datuk C. Sivaraajh (Barisan Nasional), Mohd Bakhri Hashim (Warisan), Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional) dan calon Bebas Sreanandha Rao pada PRU15, Sabtu ini.