KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dapat meningkatkan peratusan  pekerja berkemahiran sekali gus mampu menjadikan Malaysia setanding negara maju. 

Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) Dr Mohd Hasril Amiruddin berkata untuk menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi, Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 60 peratus tenaga mahir.

“Sebagai contoh, Jerman memiliki lebih 80 peratus tenaga mahir, manakala Singapura lebih 50 peratus. 

“TVET yang boleh dianggap kunci kepada kemajuan negara merupakan platform yang terbaik kepada golongan belia untuk mengikuti latihan kemahiran dari aspek mendapatkan kemahiran baharu, upskilling (peningkatan kemahiran) dan reskilling (latihan semula) yang berkonsepkan pemacu pasaran,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Menurutnya sebagai contoh, program-program TVET yang dilaksanakan di Malaysian Technical University Network (MTUN), berkonsepkan dan berfokuskan kepada pemacu pasaran dan juga mampu berdaya saing dalam perkembangan ekonomi gig yang semakin menjadi trend ketika ini. 

Kerajaan sebelum ini meletakkan sasaran untuk mempunyai 35 peratus tenaga kerja mahir menjelang 2030.

Perdana Menteri pada Program Temu Anwar Kuantan di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) semalam berkata pemerkasaan TVET di Malaysia perlu bagi melahirkan graduan lebih terlatih, sekali gus mampu menikmati gaji lebih baik.

Anwar berkata walaupun peratusan lulusan TVET yang mendapat pekerjaan adalah tinggi, beliau tidak berpuas hati dengan gaji diterima lepasan berkemahiran berkenaan, yang secara umumnya masih di bawah RM2,000 berbanding pekerja TVET di luar negara, yang menikmati gaji lebih baik.

Sementara itu, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr Fuadah Johari berkata pemerkasaan TVET akan meningkatkan daya saing negara dalam aspek sumber tenaga mahir.

“Pemerkasaan TVET dengan gaji permulaan lebih tinggi mampu mengurangkan brain drain lepasan TVET ke luar negara selain meningkatkan fasiliti yang menyokong keperluan sumber tenaga TVET,” katanya. 

Seorang pelajar jurusan Teknologi Kimpalan Kolej Vokasional Shah Alam Amsyar Rizzqin Mohd Ali Shah, 17, berkata langkah kerajaan memperkasakan TVET termasuk meningkatkan gaji permulaan akan menarik minat ramai warga muda menjadikan bidang itu sebagai pilihan untuk melanjutkan pengajian. 

“Sebelum ini, ramai yang menjadikan bidang TVET sebagai pilihan terakhir untuk melanjutkan pengajian selepas menamatkan persekolahan kerana persepsi masyarakat bahawa ia ialah pendidikan kelas kedua dan pilihan kepada mereka yang kurang menyerlah dalam bidang akedemik.

“Namun, dengan langkah berterusan yang dilakukan kerajaan untuk memperkasakan bidang ini selain kebolehpasaran tenaga kerja yang tinggi, saya yakin lebih ramai golongan muda akan memilih TVET selepas ini,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here