HANOVER, 26 Sept – Gergasi automotif Jerman, Volkswagen (VW) menolak tuntutan kesatuan pekerja untuk kenaikan gaji, sebaliknya mengancam untuk melakukan pemotongan kos semasa rundingan perjanjian kolektif pertama dengan pemimpin pekerja pada Rabu.

Pemimpin pekerja berkata bahawa pihak pengurusan VW juga enggan memberikan butiran lanjut mengenai kemungkinan pemberhentian besar-besaran dan penutupan kilang yang telah diancam oleh pengurusan VW sebagai sebahagian daripada usaha penjimatan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

“Daripada beban kos, kita memerlukan pelepasan kos,” kata Ketua Sumber Manusia VW, Arne Meiswinkel yang bertindak sebagai ketua perunding bagi pihak pengurusan. “Ini juga memerlukan sumbangan daripada pekerja.”

Kesatuan sekerja IG Metall, yang mewakili sebahagian besar tenaga kerja VW, menyatakan bahawa tuntutan syarikat itu adalah ancaman pemotongan gaji bagi pekerja di syarikat berkenaan.

IG Metall menuntut kenaikan gaji sebanyak 7 peratus di VW dan seluruh industri automotif Jerman.

Perbincangan pada Rabu berlangsung kira-kira tiga jam. Mesyuarat lanjut belum lagi dijadualkan, tetapi ketua perunding bagi kesatuan sekerja berkata beliau berharap rundingan seterusnya akan diadakan sebelum akhir November.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here