PUTRAJAYA, 27 Sept – Batik Air telah melancarkan laluan mingguan baharu dari Kunming ke Pulau Pinang bermula 24 Sept bertujuan untuk meningkatkan kesalinghubungan dan meneroka pasaran pelancongan dari bandar raya besar peringkat kedua di China menggunakan pesawat Boeing 737-8 yang boleh membawa 189 penumpang.

Timbalan pengerusi Tourism Malaysia Datuk Yeoh Soon Hin berkata laluan Kunming-Pulau Pinang memberi peluang kepada pelancong China untuk meneroka pelbagai tarikan di Malaysia.

“Dari pemandangan menarik Bukit Bendera Pulau Pinang dan Menara Berkembar Petronas yang ikonik di Kuala Lumpur ke pantai-pantai tidak tercemar di Langkawi serta warisan budaya Melaka yang kaya dan masakan Malaysia yang lazat, ada sesuatu untuk semua orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehingga Jun 2024, Malaysia telah mengalu-alukan ketibaan 1,449,711 pelancong dari China yang merupakan pertumbuhan luar biasa sebanyak 190.8 peratus berbanding tempoh sama pada 2023.

Pengenalan kemasukan tanpa visa untuk pelancong China berkuat kuasa 1 Dis 2023 hingga 31 Dis 2026 telah meningkatkan pertanyaan dan tempahan ke Malaysia dari China, tambah lembaga pelancongan itu.

Selasa lepas, Yeoh bersama-sama wakil dari Batik Air dan Malaysia Airports Holdings Bhd telah menyambut ketibaan penumpang penerbangan OD667 dari Kunming di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here