KLANG, 27 Sept – Prasarana dan ekosistem di pelabuhan perlu terus diperkemas dan dipertingkatkan untuk mengurangkan isu kesesakan di pelabuhan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata peranan pelabuhan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara seiring dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengangkutan pelbagai industri melalui peningkatan pelaburan dan perdagangan yang lebih tinggi.

Beliau berkata perkara berkaitan meningkatkan keupayaan pelabuhan dan pengangkutan telah beberapa kali dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri termasuk isu di Pelabuhan Barat atau Westports di Pelabuhan Klang.

“Pelabuhan memainkan peranan yang penting dalam mendokong usaha kerajaan menarik pelbagai pelaburan bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara, justeru ekosistem dan prasarana yang ada perlu diperkemaskan lagi.

“Di pihak kerajaan, kita telah meminta setiap urusan berkaitan dipermudah dan disegerakan kerana tidak mahu negara ketinggalan akibat urusan pentadbiran tersebut,” kata beliau dalam ucapan pada majlis pecah tanah Westports 2 di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Pengerusi Eksekutif Westports Malaysia Datuk Ruben Emir Ghanalingam Abdullah.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pembukaan Westports 2 adalah satu langkah tepat dalam mengurangkan kesesakan di Pelabuhan Klang, isu yang turut membelenggu hab pengangkutan di Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor.

Beliau berkata keupayaan Westport sebagai hab maritim dan logistik global yang telah diperakui dunia akan terus meningkat melalui pembukaan terminal kontena baharu di Westports 2 kelak.

“Pada 1994, saya selaku Menteri Kewangan ketika itu telah hadir ke Westports untuk melihat kerja-kerja awal pembinaan pelabuhan ini dan saya dapat melihat dengan jelas keupayaan dan potensinya untuk muncul sebagai pelabuhan penting.

“Oleh itu, saya rasa keperluan pembukaan prasarana baharu ini tidak boleh dipertikai dan kerajaan akan memberi sepenuh sokongan untuk memastikan projek pengembangan pelabuhan ini berjaya,” kata beliau.

Berhubung laporan kekerapan kes kemalangan melibatkan lori di laluan Pelabuhan Klang, Anwar berkata kerajaan bersetuju menjadikan pelebaran jalan di laluan tersebut sebagai keutamaan dalam merancang pembangunan pada tahun depan.

Beliau berkata perkara itu akan dibincangkan lebih lanjut dengan Amirudin dan Loke bagi melihat keupayaan kewangan kerajaan sebelum membuat keputusan berhubung pelebaran jalan di pelabuhan tersebut.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menggesa pengurusan pelabuhan untuk meningkatkan kadar upah pekerja selari dengan peningkatan produktiviti dan kewangan syarikat.

Beliau juga mahu isu berkaitan kebajikan pekerja seperti persekolahan anak-anak mereka dan perumahan diberi perhatian terbaik kerana kejayaan yang dikecapi syarikat berkait rapat dengan produktiviti serta kerja keras pekerja.

“Secara relatif, pekerja diberi layanan yang baik tetapi saya ingin menggesa syarikat dengan produktiviti tinggi untuk turut menaikkan upah pekerja. Begitu juga dengan hal-hal kebajikan lain seperti persekolahan dan perumahan,” kata beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here