KUALA LUMPUR, 27 Sept – Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 (MCS 2024) pada Disember ini, dijangka menarik penyertaan 500 syarikat China yang mahu menjalin kerjasama perdagangan dan pelaburan baharu dengan rakan di negara ini.

Acara pada 17-19 Dis, 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bagi meraikan 50 tahun hubungan Malaysia-China, dianjurkan oleh Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan disokong Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Dalam kenyataannya, Qube Integrated berkata MCS 2024 bertemakan ‘Kemakmuran Melangkaui 50,’ disusun berdasarkan lima tonggak penting — teknologi masa depan, masa depan pengetahuan dan pengalaman, mobiliti dan kesalinghubungan masa depan, peluang serta pertumbuhan masa depan.

MCS 2024 yang turut menampilkan persidangan kepimpinan dan ekspo perdagangan dan pelaburan pelbagai sektor, bermatlamat mengukuhkan kerjasama ekonomi dan mewujudkan sinergi merentasi rantau itu menerusi kerjasama strategik dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia di China (MAYCHAM China).

Pengerusi MAYCHAM China Loh Wee Keng berkata penglibatan syarikat China akan memaparkan bahan binaan maju, alat perkakasan dan hiasan kediaman di zon pertumbuhan masa depan.

“Zon mobiliti dan kesalinghubungan pula menampilkan syarikat automotif, motosikal dan basikal terkemuka. Di zon teknologi masa depan akan menyuntik keterujaan menerusi pelbagai kelengkapan elektronik, robotik dan teknologi pintar terkini China,” katanya.

Selain itu, forum mengenai kenderaan elektrik (EV) bakal menghimpunkan pemimpin industri, penggubal dasar dan pakar bagi membincangkan pencapaian teknologi EV, perkembangan kawal selia dan cabaran kemampanan.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad berkata MCS 2024 dijangka menjana peluang besar kepada perniagaan Malaysia selain menggalakkan inovasi dan kerjasama merentasi pelbagai sektor.

“Tumpuan terhadap sektor baharu seperti sektor EV dan tenaga akan turut membuka saluran pertumbuhan baharu selain mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam peralihan rantau ini kepada teknologi lestari atau hijau,” katanya.

Persidangan itu turut disokong oleh jaringan strategik seperti rakan media rasmi iaitu  Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Star Media Group dan Sin Chew Daily manakala AirAsia sebagai syarikat penerbangan rasmi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here