MANILA, 29 Sept – Filipina merekodkan 354 kes dan kematian akibat rabies dari Januari hingga 14 Sept tahun ini, peningkatan sebanyak 23 peratus berbanding 287 kes yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas, menurut data daripada Jabatan Kesihatan (DOH) Filipina.

“Semua kes rabies yang disahkan adalah membawa maut,” kata agensi itu pada Jumaat, sambil menambah bahawa jumlah tahun ini “masih boleh berubah dengan laporan yang akan datang”.

Pada Ogos lepas, agensi itu menyatakan sekurang-kurangnya 10 wilayah di seluruh negara, termasuk Metro Manila, menunjukkan peningkatan dalam kes rabies.

“DOH terus menggesa orang ramai untuk kekal berwaspada dan proaktif dalam mencegah penularan rabies,” kata Setiausaha Kesihatan Filipina Teodoro Herbosa.

Beliau berkata rabies boleh dicegah melalui pemvaksinan tepat pada masanya terhadap haiwan peliharaan dan individu yang terdedah kepada virus berkenaan, sambil menekankan bahawa pemvaksinan anjing dan kucing adalah cara paling berkesan untuk menghentikan rabies.

Pada April, Setiausaha Pertanian Filipina Francisco Tiu Laurel berkata negara itu memerlukan kira-kira 110 juta peso (kira-kira US$1.96 juta) untuk pemvaksinan sekitar 22 juta anjing dan kucing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here