PUTRAJAYA, 29 Sept – Program kerjasama dan pertukaran ilmu dalam bidang pengurusan bencana antara China dan Malaysia menerusi ‘China (Henan) and Malaysia Fire Safety Exchange Activities’ yang julung kali diadakan di Henan, China pada 9-15 Sept lepas, berakhir dengan jayanya.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan program berkenaan memfokuskan pada perkembangan terkini dalam pengurusan keselamatan kebakaran, inovasi teknikal dan pengalaman operasi.

“Anggota bomba Malaysia berkongsi pengalaman mereka dalam menangani bencana alam, kebakaran bandar dan operasi menyelamat khusus manakala China menampilkan pencapaian terkini dalam pemadaman kebakaran pintar, aplikasi data raya dan penyelamatan dibantu dron.

“Perkongsian pengetahuan merentas sempadan ini menyuntik rangsangan baharu kepada kolaborasi masa depan, memperluas perspektif kedua-dua pihak,” menurut kenyataan itu.

Seramai 34 anggota bomba pelbagai pangkat bersama dua pegawai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyertai program tersebut yang dianjurkan oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia di China (Pejabat Xi’an).

— LAGI

JBPM-CHINA 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR

Antara aktiviti sepanjang program tujuh hari itu termasuk seminar dan perkongsian di Stesen Ketiga Briged Perkhidmatan Khas, Jabatan Bomba dan Penyelamat Zhengzhou serta pertunjukan kemahiran Pasukan Latihan dan Keselamatan Medan Perang, Briged Bomba dan Penyelamat Provinsi Henan.

JBPM memaklumkan kejayaan program bertahap tinggi antara Malaysia dan China itu menandakan langkah signifikan ke hadapan dalam hubungan dua hala bidang kebombaan.

Acara itu memperkukuh kefahaman dan persahabatan serta menyediakan asas yang teguh bagi kerjasama pada masa akan datang dan kedua-dua pihak dijangka mengeratkan lagi kerjasama dalam keselamatan kebakaran, dengan matlamat bersama mewujudkan masyarakat yang lebih selamat dan harmoni.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here