TAWAU, 18 Jan — Pengusaha dan pekebun di Sabah disaran mempelbagaikan tanaman komoditi termasuk menanam buah-buahan bagi mengimbangi pendapatan harian dan sebagai persediaan jika berlaku kejatuhan harga tanaman tertentu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata harga setiap komoditi pertanian adalah mengikut pasaran semasa dan jika satu komoditi sahaja ditanam misalnya sawit, kemudian harga buah sawit jatuh, ia semestinya akan memberi kesan langsung kepada pekebun sawit.

“Sebab itu petani, peneroka, pekebun jangan bergantung atau tumpu terhadap tanam satu jenis komoditi sahaja, bila harga satu tanaman jatuh, mereka akan menghadapi masalah, mereka perlu ada mix farming (pertanian campur) untuk membantu mempelbagai pendapatan,” katanya dalam kenyataan sempena lawatan ke Kampung Rancangan Apas Proper di sini hari ini.

Katanya, pelbagai tanaman lain boleh diusahakan seperti durian musang king, nanas, avokado dan pelbagai sayuran yang mempunyai permintaan tinggi dan pasaran baik sekali gus membantu meningkatkan pendapatan pekebun.

Selain itu, Bung Moktar berkata pekebun diharapkan tidak terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing dalam mengusahakan sektor komoditi pertanian sebaliknya berusaha menarik pekerja tempatan untuk terbabit dalam sektor berkenaan. 

Dalam perkembangan lain, Bung Moktar yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah berkata UMNO sentiasa membuka pintu kepada bekas ahli yang ingin kembali kepada parti dengan niat individu berkenaan ikhlas bersama UMNO.

“Rakyat mulai menerima semula perjuangan Barisan Nasional (BN) dan UMNO, buktinya rakyat memilih BN dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil serta Pilihan Raya Negeri yang diadakan di beberapa negeri.

“UMNO dan BN semakin mendapat tempat di hati rakyat berdasarkan komitmen parti membantu rakyat dari dulu sehingga sekarang,” katanya yang Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah dan Ahli Parlimen Kinabatangan.

Menurutnya rakyat bijak untuk menilai perkara yang dilaksanakan BN ketika menerajui negara temasuk memastikan kestabilan ekonomi dan politik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here