KUALA LUMPUR, 19 Julai — Daftar Pemilih Tambahan Bulan Jun Tahun 2022 (DPT BLN6/2022) yang telah diperaku dan diwartakan, kini dibuka untuk semakan bagi tempoh 30 hari bermula hari ini hingga 17 Ogos.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan hari ini berkata DPT BLN6/2022 itu mengandungi nama bagi 38,786 warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas bagi tempoh 1 Jun hingga 30 Jun 2022 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.

Beliau berkata DPT BLN6/2022 juga turut membabitkan sejumlah 10,414 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 4,591 pemilih bertukar status atau kategori pengundi. 

Untuk semakan, beliau berkata SPR menyediakan lima kaedah iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my dan portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my. 

Selain itu, semakan juga boleh dilakukan menerusi aplikasi dalam talian di https://myspr.spr.gov.my, aplikasi mudah alih MySPR Semak dan hotline SPR di talian 03-8892 7018.

“SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Jun hingga 30 Jun 2022 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN6/2022.

”Sekiranya mereka mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT BLN6/2022, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C (tuntutan) melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya.

Beliau berkata pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya boleh mengisi Borang D (bantahan) dan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

“Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun daripada portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN6/2022,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here