“Klinik Kecantikan” Diserbu, 15 Warga Asing Ditahan Salah Guna PLS

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) — Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 15 warga asing kerana disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) untuk bekerja di klinik kecantikan tidak berlesen di sekitar Bukit Bintang di sini, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata kesemua mereka ditahan dalam operasi penguatkuasaan Ops Dandan yang dijalankan oleh JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) hasil aduan awam dan risikan.

Beliau berkata 18 individu diperiksa dalam operasi berkenaan, manakala 15 warga asing yang ditahan terdiri daripada enam lelaki dan tujuh wanita warga China serta dua wanita warga Myanmar.

“Mereka disyaki menjalankan rawatan kecantikan tanpa kebenaran dan tidak memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata siasatan awal mendapati pusat kecantikan yang beroperasi tanpa lesen Kementerian Kesihatan (KKM) itu menawarkan perkhidmatan rawatan muka serta badan dengan menggunakan khidmat warga asing terbabit.

 Premis berkenaan, katanya dipercayai milik seorang warga China yang turut menyalahgunakan pas lawatan dan telah beroperasi sejak setahun lalu dengan keuntungan mencecah ratusan ribu ringgit.

Dalam serbuan itu,  pasukan operasi menyita pelbagai barangan termasuk pakaian seragam, telefon bimbit, komputer riba, rakaman kamera litar tertutup (CCTV), lesen perniagaan serta dokumen berkaitan syarikat.

“Kesemua tahanan dibawa ke Pejabat Imigresen WPKL untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 sementara tiga wanita tempatan yang berkerja di premis itu turut diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya.

Zakaria menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dan akan meneruskan tindakan tegas bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara.

“Masyarakat juga diingatkan agar tidak melindungi atau membantu mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen dan menyalurkan maklumat menerusi saluran aduan rasmi Jabatan imigresen demi kedaulatan dan keselamatan negara,” katanya.