JIM Selangor Bongkar Taktik Pendatang Tanpa Izin Sewa Di Luar Bandar

HULU SELANGOR, 13 Feb — Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor membongkar taktik pendatang tanpa izin yang bekerja di bandar tetapi menyewa di kawasan luar bandar sebagai helah mengelak dikesan pihak berkuasa, di sini awal pagi tadi. 

Pengarah JIM Selangor Khairrul Aminus Kamaruddin berkata operasi bersepadu itu dijalankan di sebuah apartmen lama di Bukit Beruntung, dan ada antara mereka yang sanggup berulang-alik sejauh kira-kira 65 kilometer setiap hari untuk bekerja.

“Kadar sewa kediaman yang rendah antara RM400 hingga RM600 sebulan, selain pengaruh rakan senegara dikenal pasti sebagai faktor utama warga asing memilih kawasan luar bandar untuk menetap dan berselindung, dengan kebanyakan mereka tinggal secara berkumpulan bersama keluarga atau rakan senegara yang memiliki dokumen sah.

“Kebanyakan mereka tinggal empat hingga enam orang satu keluarga, manakala yang bujang pula menetap beramai-ramai dalam sebuah rumah, antara enam hingga tujuh orang. Sebahagian daripada mereka bekerja sebagai pengawal keselamatan dan buruh pembinaan di luar kawasan perumahan itu seperti Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan.

Terdahulu, operasi yang bermula 8.30 malam semalam dan berakhir 1 pagi ini melibatkan pemeriksaan terhadap 188 warga asing dan dijalankan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Pendaftaran Negara serta Majlis Perbandaran Hulu Selangor. 

Khairrul Aminus berkata daripada jumlah itu sebanyak 73 individu ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen, iaitu 26 lelaki Pakistan, 19 lelaki Myanmar, enam lelaki Bangladesh, empat lelaki Nepal, seorang lelaki India serta 17 wanita Pakistan berusia setahun hingga 55 tahun.

“Kebanyakan mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala sebahagian lagi dipercayai tinggal lebih masa mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama.

“Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Semenyih bagi siasatan lanjut. Operasi dilaksanakan susulan aduan wakil penduduk yang berasa tidak selesa dengan kehadiran segelintir warga asing yang didakwa sering menimbulkan kekacauan, mabuk serta membuat bising,” katanya.