Agong Zahir Amaran Lebih Ramai Dalam Radar Untuk Misi Perangi Rasuah

KUALA LUMPUR, 16 Feb — Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan amaran bahawa lebih ramai individu berada dalam “radar” Seri Paduka Baginda untuk misi memerangi rasuah tanpa kompromi di semua jabatan serta agensi kerajaan.

Seri Paduka Baginda bertitah rasuah ialah pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan tidak akan sama sekali ditoleransikan dalam pentadbiran negara.

“Jangan ingat memerangi rasuah ini hanya bertumpu pada segelintir jabatan, atau mereka yang memberikan dan menerima, malah berhati-hati juga mereka di Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan pelbagai lagi, tidak terlepas juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Tidak kira apa jua pangkat anda, begitu juga ejen-ejen yang menjadi ‘orang tengah’ selain menjadi pembekal pelbagai peralatan, pakaian serta perubatan, anda juga dalam ‘radar’.

“Bak kata pepatah ‘siapa makan cili, dia terasa pedas’, jangan anda semua ingat saya tidak tahu apa-apa, saya juga mempunyai risikan saya sendiri,” titah Seri Paduka Baginda yang dimuat naik dalam Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah usaha membanteras rasuah tidak boleh bersifat kosmetik atau sekadar retorik kerana tiada sesiapa yang boleh terlepas daripada undang-undang.

Titah Seri Paduka Baginda, sekiranya terdapat pegawai yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan berintegriti, maka pertukaran perlu dilaksanakan tanpa berlengah.

“Saya ada alternatif lain. Jika ada pegawai yang tidak mampu melaksanakan amanah dengan jujur, berikan peluang kepada mereka yang lebih layak dan bersih untuk menjalankan tanggungjawab itu,” titah Seri Paduka Baginda.

Pada 19 Jan lepas, Sultan Ibrahim menerusi Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 bertitah supaya amalan rasuah diperangi secara besar-besaran dengan tiada sesiapa pun boleh dilindungi daripada tindakan undang-undang.

Seri Paduka Baginda bertitah usaha membanteras rasuah tidak boleh tertumpu hanya kepada penerima rasuah, sebaliknya pemberi rasuah, ejen atau mana-mana pihak yang bersubahat turut perlu disiasat dan dikenakan tindakan tegas.