MISC Dapat Lanjutan Kontrak FPSO Ruby II Di Vietnam Hingga Akhir 2027

KUALA LUMPUR, 16 Feb  — MISC Bhd melalui syarikat usaha sama, Vietnam Offshore Floating Terminal (Ruby) Ltd (VOFT), meraih kontrak FPSO Ruby II daripada Vietnam National Industry – Energy Group (PetroVietnam), yang melanjutkan operasi kapal itu sehingga 31 Dis, 2027.

Syarikat perkhidmatan maritim itu berkata kontrak berkenaan meliputi pemajakan, pengoperasian dan penyelenggaraan unit pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO), yang telah beroperasi di Blok 01 dan 02 di luar pesisir Vietnam sejak pengeluaran minyak pertama pada Jun 2010.

“FPSO Ruby II merupakan aset luar pesisir pertama MISC di Vietnam dan telah memainkan peranan penting mewujudkan kehadiran kumpulan itu dalam sektor tenaga negara berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ia berkata MISC dan PetroVietnam Technical Services Corporation (PTSC) masing-masing memegang 40 peratus dan 60 peratus kepentingan ekuiti dalam VOFT.

Ia menambah sejak memulakan operasi, FPSO Ruby II telah beroperasi selama 5,761 hari tanpa sebarang kecederaan yang menyebabkan kehilangan waktu bekerja (LTI), mengekalkan masa operasi sebanyak 99.88 peratus dan melengkapkan 236 operasi pemunggahan, sekali gus menghasilkan eksport lebih 68.5 juta tong minyak.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC Zahid Osman berkata lanjutan kontrak itu merupakan pengiktirafan kukuh terhadap kecemerlangan operasi dan prestasi keselamatan VOFT.

“Sebagai aset luar pesisir pertama MISC di Vietnam, FPSO Ruby II telah memainkan peranan penting dalam mewujudkan kehadiran kami dan memperkukuh perkongsian jangka panjang dengan PetroVietnam dan PetroVietnam Technical Services Corporation (PTSC).

“Ini selaras dengan strategi pengurusan aset MISC yang berdisiplin untuk menjamin aliran tunai yang stabil daripada aset-aset sedia ada, sambil mencerminkan komitmen lebih luas kami untuk mewujudkan nilai jangka panjang melalui operasi yang selamat, boleh dipercayai dan bertanggungjawab,” katanya.