11 Ketua Bahagian Bersatu Johor Umum Letak Jawatan

KLUANG, 18 Feb — Sebelas ketua bahagian Bersatu di Johor hari ini mengumumkan peletakan jawatan susulan krisis kepimpinan yang didakwa berlarutan, dan gagal ditangani secara berhemah oleh pucuk pimpinan parti.

Bahagian terlibat ialah Pontian, Simpang Renggam, Sembrong, Mersing, Johor Bahru, Pengerang, Labis, Tanjung Piai, Seri Gading, Ledang dan Pulai.

Ketua Bahagian Pontian Datuk Isa Ab Hamid yang mewakili semua ketua bahagian berkenaan berkata peletakan jawatan mereka secara tidak langsung menyebabkan semua bahagian terbabit terbubar.

“Krisis kepimpinan yang berlarutan termasuk pemecatan pemimpin kanan dan Ahli Parlimen menyebabkan hala tuju parti semakin kabur serta kepercayaan ahli dan pengundi terhakis,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata ketua bahagian Mersing dan Labis telah menghantar surat peletakan jawatan rasmi kepada Setiausaha Agung parti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, manakala bahagian lain dijangka menyusul dalam masa terdekat.

Isa berkata ketidakupayaan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Badan Perhubungan Bersatu Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal menyatupadukan ketua bahagian dan akar umbi menjejaskan keyakinan mereka untuk terus memegang jawatan, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri Johor.

Sementara itu, bekas Ketua Bahagian Johor Bahru Datuk Zulkifli Bujang berkata kumpulan tersebut tidak akan bergerak secara individu dan sebarang keputusan selepas ini akan dibuat secara konsensus sekiranya menerima tawaran daripada parti lain.

Sebelum ini, Bersatu memecat 17 ahlinya termasuk beberapa pemimpin Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), antaranya empat Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), atas pelanggaran Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti. Mereka masih berhak mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari.

Setakat ini, 22 bahagian Bersatu telah dibubarkan di seluruh negara susulan krisis kepimpinan parti itu.

Di Terengganu, bekas ketua Bersatu Bahagian Dungun Datuk Aziz Ismail mendakwa bahagian itu turut dibubarkan hari ini susulan tindakan 1,880 ahli dari 13 cawangan keluar parti.

“Keputusan drastik berkenaan diambil setelah hilang kepercayaan dan sokongan terhadap kepimpinan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menerusi kenyataan hari ini menafikan pembubaran Bersatu Bahagian Larut, Lembah Pantai, Kepala Batas dan Tanjong berikutan peletakan jawatan beberapa ahli jawatankuasa bahagian.

Beliau berkata dakwaan itu tidak berasas dan bercanggah dengan peruntukan perlembagaan dan Peraturan Persidangan Bersatu.

“Perlembagaan parti tidak memperuntukkan kuasa kepada mana-mana ahli parti termasuk ketua bahagian untuk membubarkan bahagian. Ini adalah tindakan terdesak segelintir individu yang berniat jahat untuk merosakkan imej dan maruah parti serta menggugat kestabilan parti,” katanya.