KUALA LUMPUR, 18 Feb — Kenaikan cukai eksais tembakau adalah antara langkah paling berkesan bagi mengurangkan tabiat merokok selain penguatkuasaan menyeluruh ke arah mencapai matlamat Endgame 2045, menurut Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC).
Presiden MCTC Profesor Dr M. Murallitharan berkata kenaikan cukai merupakan antara instrumen dasar kesihatan awam paling berkesan untuk mengurangkan tabiat merokok khususnya dalam kalangan golongan muda dan berpendapatan rendah yang lebih sensitif terhadap harga.
“Namun, untuk memastikan kenaikan harga benar-benar berkesan dan tidak dimanipulasi oleh pasaran haram, penguatkuasaan menyeluruh dan terselaras mesti menjadi asas utama pelaksanaannya,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata langkah fiskal itu selaras dengan komitmen Malaysia terhadap Kerangka Konvensyen mengenai Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (FCTC) yang ditandatangani pada 23 Sept 2003 dan diratifikasikan pada 16 Sept 2005.
Menurutnya, pelbagai kajian global menunjukkan kenaikan harga melalui cukai mampu mengurangkan kadar permulaan merokok dalam kalangan remaja, menggalakkan perokok sedia ada berhenti dan mengurangkan penggunaan dalam kumpulan berisiko tinggi.
MCTC turut memaklumkan bahawa cukai produk tembakau tidak dinaikkan sejak 2015, justeru semakan semula dasar fiskal itu adalah mendesak bagi mencapai sasaran penamatan produk merokok atau smoking product endgame menjelang 2045.
Mengulas kebimbangan bahawa kenaikan cukai akan meningkatkan penyeludupan, Murallitharan berkata laporan Bank Dunia bertajuk Confronting Illicit Tobacco Trade: A Global Review of Country Experiencesmendapati perdagangan haram lebih berkait dengan kelemahan penguatkuasaan dan tadbir urus berbanding kadar cukai semata-mata.
Sehubungan itu, MCTC menggesa kerajaan meratifikasi Protocol to Eliminate Illicit Trade in Tobacco Products bagi memperkukuh mekanisme pelesenan, sistem penjejakan dan pengesanan serta kerjasama rentas sempadan selaras dengan Perkara 15 FCTC.
Pada masa ini, fungsi kawalan produk tembakau melibatkan beberapa agensi termasuk Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara bagi pelesenan jualan runcit, Kementerian Kesihatan Malaysia (larangan merokok dan pengiklanan) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (kawalan duti dan penandaan cukai).
Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam pula terlibat dalam aspek pengurusan sisa termasuk puntung rokok.
Menurut MCTC, pemecahan bidang kuasa itu menyebabkan pertindihan dan kekangan sumber, justeru penyelarasan kuasa penguatkuasaan di peringkat pihak berkuasa tempatan dengan mandat jelas serta sumber mencukupi perlu dipertimbang.
“Tanpa asas penguatkuasaan yang kukuh, kesan positif kenaikan cukai akan terhakis oleh pasaran haram,” katanya.

















Tinggalkan Balasan