Sektor Penjagaan Kesihatan Dijangka Catat Pertumbuhan Kukuh Pada 2026 – MBSB

KUALA LUMPUR, 19 Feb — Sektor penjagaan kesihatan Malaysia dijangka berperanan sebagai pemangkin kepada pelancongan perubatan berkeperluan tinggi, selain memperkukuh keupayaan domestik dalam pembuatan dan pengedaran biofarmaseutikal tahun ini.

MBSB Investment Bank Bhd berkata prospek itu akan disokong oleh peningkatan populasi warga emas, permintaan yang semakin tinggi terhadap rawatan berketepatan tinggi, inisiatif kerajaan yang berterusan, insentif dan konsesi bagi sektor penjagaan kesihatan awam dan swasta, selain pendigitalan berterusan serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pentadbiran hospital dan peralatan perubatan.

“Namun begitu, kami kekal berhati-hati terhadap risiko yang boleh menjejaskan unjuran tersebut, termasuk inflasi kos perubatan, perubahan dasar ubat-ubatan dan tekanan harga susulan tarif perdagangan,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Firma itu berkata penyedia perkhidmatan hospital domestik kini semakin memberi tumpuan kepada rawatan kompleks berbanding hanya bergantung kepada jumlah kes semata-mata, sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap prosedur bernilai tinggi susulan faktor sokongan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia (MYMT) 2026.

Selain itu, kerjasama dengan sektor awam berpotensi meningkatkan hasil daripada pesakit yang dimasukkan ke wad daripada pesakit tempatan.

“Bagaimanapun, kami juga menjangkakan inflasi harga perubatan dan isu pembayar insurans akan menjadi tumpuan utama pada separuh pertama tahun ini,” katanya.

MBSB berkata Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia sedang bekerjasama bagi memastikan pesakit tempatan, khususnya warga emas dan populasi yang semakin menua, mempunyai akses kepada insurans perubatan, sekali gus membantu meredakan inflasi harga dan tuntutan perubatan.

“Kami menjangkakan penyedia perkhidmatan kesihatan, khususnya yang memberi tumpuan kepada pesakit domestik, akan mengalami tekanan margin dalam jangka pendek ketika isu sedang diperhalusi, namun jumlah pesakit yang dimasukkan ke wad dijangka kekal tinggi dan mampan pada masa hadapan,” katanya.

Bagi industri sarung tangan pula, sektor itu dijangka menyaksikan pemulihan berterusan mulai suku pertama 2026 berikutan fasa pengurangan stok yang telah berakhir.

Tarif Amerika Syarikat (AS) yang bakal dikenakan ke atas sarung tangan dari China mungkin memberi sedikit kelebihan kepada pengeluar tempatan.

Namun, permintaan dari pasaran AS berpotensi menyederhana susulan peningkatan desakan agar pengeluar Amerika mengalihkan operasi ke dalam negara dan mengurangkan kebergantungan kepada import.

Sementara itu, peranti perubatan bernilai tinggi seperti perentak jantung, stent dan implan dijangka mencatat pertumbuhan dalam eksport serta pengedaran domestik, disokong oleh permintaan global yang diunjurkan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 9.0 hingga 9.5 peratus.

Permintaan terhadap automasi di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) juga dijangka meningkat, khususnya bagi peralatan perubatan yang diintegrasikan dengan kecerdasan buatan, keupayaan Internet Pelbagai Benda (IoT) serta perkhidmatan penyelenggaraan.

“Ini bukan sahaja dapat melindungi margin pendapatan hospital, malah mengekalkan daya tahan syarikat peralatan perubatan selepas 2026.

“Kami berpendapat pemain farmaseutikal tempatan akan mencontohi trend syarikat farmaseutikal global utama dengan memberi tumpuan kepada produk khusus bermargin tinggi, beralih daripada generik kepada biosimilar dan onkologi — strategi yang diguna pakai oleh Pfizer dan AbbVie susulan tamat tempoh paten masing-masing,” katanya.

Menurut MBSB, strategi itu berpotensi memperkukuh penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi produk tempatan serta menyumbang kepada pasaran halal ASEAN.

“Namun, kami kekal berwaspada terhadap tekanan harga global bagi ubat-ubatan eksport, meskipun eksport diunjurkan mencecah sehingga RM1.5 bilion pada 2026, berikutan lokalisasi pengeluaran ubat di AS dan pelupusan perniagaan generik,” katanya.

Bagi saham yang menjadi tumpuan, MBSB mengekalkan saranan “neutral” ke atas KPJ Healthcare Bhd dengan harga sasaran RM2.65, manakala Pharmaniaga Bhd diberikan saranan “beli” dengan harga sasaran 32 sen.

Bagaimanapun, kedua-dua syarikat itu masih dalam penilaian sementara menunggu pengumuman keputusan kewangan masing-masing yang dijadualkan minggu hadapan.