IPNas 2025: Keetnikan, Politik Antara Isu Utama Terus Gugat Perpaduan Negara – Aaron

PUTRAJAYA, 24 Feb — Kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025 menunjukkan masih terdapat beberapa isu utama yang berpotensi menggugat perpaduan negara, dengan keetnikan kekal sebagai cabaran terbesar, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata lima isu yang paling kerap dirasai rakyat ialah keetnikan dengan wajaran 60.3 peratus, diikuti media (57.2 peratus), politik dan federalisme (56.9 peratus), agama (56.7 peratus) serta kelas sosial (47.5 peratus).

“Mengikut Prinsip Pareto, jika tumpuan diberikan kepada lima isu ini, ia sudah mampu menyelesaikan sebahagian besar rungutan rakyat tentang perpaduan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aaron berkata sentimen etnik dan cara pergaulan dalam kalangan masyarakat masih perlu diurus secara lebih berhemah agar tidak menambahkan jurang sosial.

Beliau berkata kedudukan media di tempat kedua pula menunjukkan betapa kuatnya kesan berita, kandungan digital dan tularan mesej terhadap emosi serta persepsi antara komuniti.

“Politik dan federalisme yang berada pada paras hampir sama memberikan isyarat bahawa kefahaman tentang peranan kerajaan pusat dan negeri mempengaruhi rasa keadilan dan kebersamaan,” katanya.

Aaron berkata isu agama memerlukan pendekatan berhemah kerana bersifat sensitif dan mudah disalah tafsir, manakala kelas sosial serta pendidikan pula menonjolkan jurang yang masih dirasai rakyat, khususnya berkaitan kos sara hidup, mobiliti ekonomi dan akses kepada pendidikan berkualiti.

Beliau berkata kajian itu turut menganalisis perbezaan corak persepsi perpaduan antara wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak, khususnya berkaitan tadbir urus, politik persekutuan–negeri dan akses kepada pembangunan.

Aaron berkata pendekatan one-size-fits-all tidak lagi relevan dan terdapat keperluan untuk mencipta naratif perpaduan berasaskan wilayah serta konteks tempatan.

“Dapatan Kajian IPNas 2025 memberikan mesej yang jelas kepada kita semua bahawa perpaduan tidak boleh dibina hanya melalui kempen simbolik, retorik politik dan pendekatan bersifat umum,” katanya.

Aaron berkata perpaduan mesti diperkukuh melalui tadbir urus yang telus dan adil, penyampaian ekonomi yang dirasai rakyat, pengurusan naratif media dan maklumat serta pendekatan berbeza mengikut wilayah dan kumpulan masyarakat.

Beliau berkata meskipun negara bebas daripada konflik fizikal, ancaman utama kini ialah polarisasi naratif dan ekonomi.

Sehubungan dengan itu, katanya, Kerajaan MADANI melalui Kementerian Perpaduan Negara akan menggunakan dapatan IPNas 2025 sebagai panduan dasar untuk melaksanakan intervensi terhadap tadbir urus berimpak rakyat, pengurusan media dan maklumat serta pengurangan jurang sosioekonomi.

“Kita mesti mengukuhkan apa yang sudah kuat dan membaiki apa-apa yang masih rapuh. Ini kerana perpaduan bukan warisan yang kekal, tetapi amanah yang mesti dipelihara oleh setiap generasi,” katanya.

Beliau menggariskan lima langkah penting untuk memastikan perpaduan terus diperkukuh, iaitu meneruskan pembangunan yang adil dan menyeluruh; menghidupkan nilai kebangsaan dalam kehidupan seharian; menukar interaksi kepada kerjasama sebenar; memperkukuh tadbir urus mikro yang telus; serta menjadikan negeri berprestasi tinggi sebagai sumber rujukan amalan terbaik.

“Kajian IPNas 2025 juga mendapati bahawa interaksi sosial semata-mata belum cukup untuk memacu perpaduan. Hubungan sosial yang baik perlu diterjemahkan kepada kerjasama sebenar dalam aktiviti komuniti dan kehidupan seharian,” katanya.