KUALA LUMPUR, 25 Feb — Keuntungan bersih Nestle (Malaysia) Bhd meningkat kepada RM513.03 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025 berbanding RM415.62 juta yang dicatatkan semasa tahun sebelumnya selepas dipacu oleh kesan gabungan pertumbuhan hasil yang kukuh dan pengurusan kos yang berdisiplin di sepanjang rantaian nilai.
Pendapatan bagi tahun itu juga menokok kepada RM6.88 bilion daripada RM6.22 bilion, didorong oleh kenaikan dalam permintaan domestik dan pengembangan dua angka dalam jualan eksport, mencerminkan daya saing global 100 peratus produk buatan Malaysia yang diperakui halal kumpulan itu.
“Di sebalik prestasi kukuh ini dan selaras dengan komitmennya terhadap nilai pemegang saham, lembaga pengarah telah mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 90 sen sesaham bagi tahun berakhir 31 Dis 2025, 16 sen lebih tinggi daripada dividen interim ketiga 2024,” kata Nestle melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Untuk suku keempat berakhir 31 Dis 2025, keuntungan bersih Nestle melonjak kepada RM125.53 juta daripada RM41.10 juta disebabkan pertumbuhan kasar yang amat memberangsangkan, pengurusan kos yang berdisiplin dan langkah berterusan bagi meningkatkan kecekapan operasi.
“Walaupun impak kos komoditi yang lebih tinggi, usaha ini membolehkan kumpulan itu untuk terus memacu pelaburan jenama strategik yang menyokong keuntungan bahagian pasaran merentas kategori utama,” kata Nestle.
Hasil suku tersebut juga naik kepada RM1.68 bilion berbanding RM1.47 bilion dari tahun ke tahun, disangga oleh pertumbuhan dua angka yang teguh merentasi pasaran domestik dan eksport, yang masing-masing berkembang sebanyak 14.1 peratus serta 14.4 peratus.
Memandang ke hadapan pada 2026, Nestle berkata kumpulan itu berada pada kedudukan yang baik untuk terus menyampaikan nilai jangka panjang berdasarkan asas ekonomi Malaysia yang berdaya tahan, permintaan domestik yang stabil serta sektor makanan dan minuman yang terus menunjukkan kekuatan jangka panjang.

















Tinggalkan Balasan