KUALA LUMPUR, 2 Mac — Kesan ekonomi terhadap Malaysia susulan konflik di Timur Tengah dijangka kekal terkawal sekiranya ketegangan itu tidak berlarutan namun ketidaktentuan pasaran dalam jangka masa terdekat tidak boleh diketepikan, kata beberapa ahli ekonomi.
Mereka berkata pasaran dijangka kekal sensitif terhadap pergerakan harga minyak mentah, perkembangan geopolitik dan perubahan sentimen risiko global dalam beberapa hari akan datang.
Ketua Ahli Ekonomi CGS International Securities Malaysia, Nazmi Idrus berkata pasaran sebahagiannya telah menjangkakan perkembangan geopolitik dan menunjukkan strategi pelabur mungkin telah mencerminkan risiko yang meningkat.
“Perang ini agak telah dijangka, jadi pasaran mungkin telah menyesuai dengan jangkaan itu. Sekiranya berlaku reaksi berlebihan, hal itu mungkin bersifat sementara,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata masih sukar untuk menentukan sama ada sentimen mengelak risiko atau harga minyak mentah lebih tinggi yang akhirnya akan mempengaruhi pergerakan mata wang, kerana hal itu banyak bergantung kepada tempoh dan keamatan konflik.
Walaupun harga minyak mentah yang lebih tinggi boleh mengimbangi sebahagian kesan disinflasi susulan ringgit yang lebih kukuh namun kesan keseluruhan terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), inflasi dan kedudukan fiskal Malaysia dijangka kekal terhad sekiranya ketegangan tidak berlarutan, katanya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ketidaktentuan geopolitik yang meningkat boleh mendorong pelabur menilai semula pendedahan terhada[ aset berisiko di samping mengekalkan pasaran tenaga yang sensitif terhadap kebimbangan gangguan bekalan.
Beliau berkata pembolehubah utama bagi Malaysia ialah tempoh kenaikan harga minyak mentah kerana peningkatan harga yang berlarutan boleh mempengaruhi unjuran inflasi dan struktur kos.
“Situasi masih amat tidak menentu dan banyak bergantung kepada perkembangan seterusnya,” katanya.
Beliau berkata sudah pasti pembuat dasar akan memantau rapat perkembangan itu untuk menilai kesan pusingan kedua terhadap harga dan kestabilan kewangan.
Mengenai fiskal, Ahli Ekonomi Dr Nungsari Ahmad Radhi mengingatkan kenaikan harga minyak mentah tidak semestinya membawa manfaat fiskal untuk kerajaan.
“Kenaikan harga minyak mentah menguntungkan Petronas namun, kos subsidi petrol bagi kerajaan juga meningkat. Apakah kesan bersihnya? Itu bergantung pada keanjalan,” katanya mengenai sejauh mana pembayaran dividen dan perbelanjaan subsidi bertindak balas terhadap perubahan harga minyak.
Beliau berkata masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan muktamad manakala implikasi ekonomi yang lebih luas bergantung kepada tempoh konflik dan sama ada ketegangan itu akan merebak lebih jauh atau sebaliknya.
Ketegangan di Timur Tengah meningkat selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada Sabtu, yang digambarkan Israel sebagai “serangan awal” untuk “menghapuskan ancaman”.
Serangan itu berlaku selepas penambahan ketara kehadiran tentera AS di rantau tersebut, yang bertujuan memberi tekanan kepada Tehran supaya mengurangkan program nuklearnya, dan berlaku ketika Iran melaksanakan tindakan keras terhadap protes berskala besar.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan kebimbangan mendalam mengenai konflik global yang berlarutan, menggambarkannya sebagai ujian berat bagi keamanan antarabangsa.
Sementara itu, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kerajaan akan meneliti impak ekonomi susulan serangan Israel dan AS ke atas Iran, termasuk hubungan langsung Malaysia dengan Iran serta ketegangan geopolitik yang lebih luas yang menjejaskan ekonomi global.















Tinggalkan Balasan