Kementerian Perladangan Dan Komoditi Sasar Eksport Kayu RM32.8 Bilion Menjelang 2030

KUALA LUMPUR, 4 Mac — Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menyasarkan untuk mengukuhkan jumlah eksport kayu bernilai RM32.8 bilion menjelang 2030 di bawah Dasar Agromakanan Nasional 2030 (DAKN 2030) dan Pelan Induk Industri Baharu (NIMP 2030).

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata eksport kayu dan produk berasaskan kayu Malaysia kini melebihi RM20 bilion setahun, dengan perabot kayu menyumbang 43 peratus daripada jumlah eksport.

“Bagi mencapai sasaran ini, kementerian bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan, termasuk Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Majlis Kayu Malaysia (MTC) dan Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC).

“Menerusi kerjasama ini kami komited membantu industri mengakses pasaran baharu, mengamalkan amalan kemampanan dan meningkatkan kualiti perabot Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF) 2026, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Razali Mohamad.

Noraini berkata eksport perabot kayu Malaysia terus mencatat peningkatan, mencerminkan ketahanan dan keupayaan industri meskipun berdepan persaingan global yang kian sengit.

“Perabot buatan Malaysia kekal popular di pasaran utama seperti Amerika Syarikat, Timur Tengah, Australia dan negara-negara ASEAN, membuktikan kualiti, kemahiran dan kebolehpercayaan pengeluar tempatan,” katanya.

Noraini berkata prestasi cemerlang industri kayu turut mengukuhkan kedudukannya sebagai penyumbang ketiga terbesar kepada eksport komoditi negara.

MIFF 2026 berlangsung dari 4 hingga 7 Mac 2026 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) serta Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Lebih 700 peserta dan 20,000 pembeli daripada 140 negara dan wilayah menghadiri pameran berkeluasan 100,000 meter persegi itu.

Pada 29 Januari lepas, MIFF 2026 menyasarkan pesanan terus di lokasi bernilai US$1.31 bilion (US$1 = RM3.93), disokong oleh kadar pertukaran mata wang yang lebih baik.