Indonesia Perkasa Usaha Perindustrian, Sasar Ekosistem EV – Prabowo

JAKARTA, 20 Mac — Indonesia mempercepat usaha perindustrian hiliran bagi memaksimumkan nilai sumber semula jadi, memperkukuh pembuatan domestik serta mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi, kata Presiden Prabowo Subianto.

Beliau berkata Indonesia perlu beralih daripada sekadar mengeksport bahan mentah kepada memprosesnya menjadi produk industri bernilai tinggi bagi memastikan manfaat ekonomi yang lebih besar kekal dalam negara.

Beliau menegaskan Indonesia kaya dengan mineral seperti bauksit dan timah yang penting untuk menyokong sektor pembuatan, namun masih belum dimanfaatkan sepenuhnya berbanding negara seperti Korea Selatan dan Jepun.

“Apa yang berlaku ialah deindustrialisasi. Wang Indonesia tidak kekal di Indonesia. Saya mahu realisasi. Itulah satu-satunya cara. Kita tidak boleh lagi mengeksport bahan mentah.

“Kita mesti memprosesnya menjadi produk industri bernilai tinggi,” katanya semasa perbincangan meja bulat bersama wartawan kanan daripada organisasi media utama Indonesia di kediamannya di Hambalang, Jawa Barat, baru-baru ini.

Presiden itu turut mengulangi rancangan untuk membangunkan industri pembuatan kereta domestik yang berteraskan ekosistem kenderaan elektrik (EV).

“Saya akan membuka kilang kereta. Mengapa kita menjadi pasaran kepada kereta orang lain? Mengapa?” katanya.

Beliau berkata inisiatif itu akan melangkaui pembuatan konvensional, dengan memberi tumpuan kepada pembinaan sistem pengangkutan elektrik sepenuhnya yang dikuasakan tenaga boleh diperbaharui.

Presiden berkata Indonesia perlu melaksanakan pembaharuan merentas pelbagai sektor secara serentak bagi menghidupkan semula perindustrian serta memastikan pertumbuhan ekonomi yang inklusif.

Beliau berkata kerajaan telah merangka strategi “pohon industri” yang melibatkan pembangunan industri hiliran bagi komoditi utama untuk membina rantaian nilai domestik yang lengkap.

Usaha memperhebat perindustrian itu dibuat susulan kebimbangan terhadap ketidakseimbangan struktur ekonomi, termasuk penyusutan kelas pertengahan serta kewujudan pekerjaan tidak formal bergaji rendah walaupun ekonomi terus berkembang.

Prabowo mengakui perkara itu dengan menyatakan pertumbuhan ekonomi belum diterjemahkan kepada kemakmuran menyeluruh, dan menegaskan keperluan mewujudkan bukan sahaja peluang pekerjaan, tetapi pekerjaan berkualiti untuk rakyat.

Presiden itu turut menekankan kepentingan nyahkawal bagi meningkatkan daya saing serta mengekang ketirisan.

Merujuk kepada nyahkawal dalam pengagihan baja sebagai antara pencapaian pentadbirannya dalam meningkatkan kecekapan, beliau berkata kerajaan telah menghapuskan 145 peraturan, sekali gus membolehkan petani membeli terus dari kilang.

“Kami menghapuskan 145 peraturan. Dari kilang, petani kini boleh membeli secara terus. Jadi penyahkawalseliaan amat penting,” katanya sambil menambah kerenah birokrasi yang tidak perlu menjadi halangan kepada daya saing.