Hampir 10,000 Senjata Nuklear Di Dunia Sedia Digunakan – Laporan

azaGENEVA, 26 Mac — Hampir 10,000 senjata nuklear kini berada dalam status operasi di seluruh dunia, dengan gabungan kuasa letupan yang menyamai 135,000 bom Hiroshima, menurut laporan Kempen Antarabangsa untuk Menghapuskan Senjata Nuklear (ICAN) yang dikeluarkan pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Bom atom digugurkan di Bandar Hiroshima, Jepun pada 6 Ogos 1945 – kali pertama senjata sedemikian digunakan – yang mengorbankan lebih 140,000 orang.

Jumlah keseluruhan kepala peledak nuklear meningkat secara berterusan sejak 2017, dengan peningkatan sebanyak 141 unit pada tahun lepas, menurut laporan ICAN.

Lebih sedikit daripada 40 peratus dilaporkan dipasang pada peluru berpandu balistik di dalam silo, pada pelancar mudah alih atau pada kapal selam, serta di pangkalan pesawat pengebom. Selebihnya disimpan sebagai simpanan.

Sebagai tambahan kepada kepala peledak yang dipasang, sembilan kuasa nuklear dunia dilaporkan mempunyai hampir 2,500 lagi unit yang ditamatkan perkhidmatannya dan sedang menunggu untuk dileraikan.

China, India, Korea Utara, Pakistan dan Rusia sedang memperluaskan senjata mereka, manakala Perancis dan Amerika Syarikat (AS) dikatakan mempunyai rancangan yang sama. Kuasa nuklear lain termasuk United Kingdom (UK) dan Israel.

ICAN adalah penggerak utama di sebalik Perjanjian Larangan Senjata Nuklear (TPNW) pada 2021, yang mana kempen itu menerima Hadiah Keamanan Nobel pada 2017. Menjelang akhir 2025, sebanyak 99 negara menyertai perjanjian itu.

Sembilan kuasa nuklear tidak termasuk dalam senarai penyertaan, begitu juga sekutu rapat mereka – termasuk Jerman dan negara NATO yang lain.

Eropah “dilihat sebagai penghalang utama kepada kemajuan lanjut ke arah pengglobalan TPNW,” menurut laporan itu.