PUTRAJAYA, 27 Mac — Kerajaan MADANI terus komited melindungi rakyat daripada tekanan ekonomi global apabila mengekalkan harga petrol RON95 pada kadar subsidi RM1.99 seliter di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95), sekali gus menjadikan Malaysia kekal antara negara dengan harga petrol paling murah di dunia.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah tersebut diambil ketika dunia berdepan cabaran ekonomi susulan lonjakan harga minyak mentah global yang melepasi paras USD100 setong, sekali gus memberi kesan kepada banyak negara.
Beliau berkata harga petrol di beberapa negara mencecah lebih RM10 seliter seperti di Singapura dan RM14 seliter di Hong Kong.
“Namun di Malaysia, Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil pendirian yang jelas, iaitu rakyat mesti dilindungi.
“Kerajaan MADANI faham betapa peritnya jika beban ini dilepaskan ke bahu rakyat. Oleh itu, kerajaan mengambil keputusan tegas untuk terus menjadi ‘perisai’ rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Saifuddin Nasution berkata walaupun harga di pam minyak kekal RM1.99 seliter, kos sebenar yang perlu dibayar kerajaan telah meningkat secara mendadak, dengan bil subsidi bahan api negara telah melompat enam kali ganda, daripada RM700 juta kepada RM4 bilion setiap bulan.
“Sebagai sebuah ‘keluarga besar’, kita perlu membuat pilihan yang bijak. Kita tidak boleh membiarkan RM4 bilion wang rakyat ‘terbakar’ di atas jalan raya setiap bulan.
“Wang penjimatan subsidi ini amat diperlukan untuk membina lebih banyak sekolah, menaik taraf hospital dan memberikan bantuan tunai terus kepada rakyat yang lebih memerlukan,” katanya.
Bagi memastikan keseimbangan itu, Saifuddin Nasution berkata Kerajaan MADANI membuat penyelarasan sementara had kelayakan kuota BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan bermula 1 April ini.
Beliau berkata penyelarasan sementara itu tidak memberi kesan langsung kepada majoriti rakyat kerana data menunjukkan hampir 90 peratus rakyat Malaysia hanya menggunakan secara purata 100 liter petrol sebulan.
“Ini bermakna, kehidupan harian majoriti besar rakyat (sembilan daripada 10 orang) akan berjalan seperti biasa tanpa sebarang kos tambahan dan pemandu e-hailing juga tidak perlu risau kerana kuota mereka dikekalkan pada 800 liter sebulan demi kelangsungan rezeki mereka.
“Bagi 10 peratus pengguna yang mencatatkan penggunaan lebih daripada 200 liter sebulan, saya menyeru kita semua untuk melihat penyelarasan ini sebagai satu dorongan ke arah gaya hidup yang lebih lestari,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata pada saat negara sedang menguruskan kesan krisis global, golongan berpendapatan dan berbelanja lebih besar digalakkan berbelanja dengan lebih berhemat seperti mengurangkan pemanduan yang tidak perlu, mengamalkan perkongsian kereta atau menggunakan kemudahan pengangkutan awam.
Beliau berkata Kerajaan MADANI telah melakukan yang terbaik dengan menyerap kenaikan harga di peringkat dunia supaya kos sara hidup rakyat tidak terjejas secara drastik.
“Mari kita menjadi masyarakat yang lebih jimat cermat dan bijak menguruskan penggunaan petrol kita. Langkah ini adalah sementara sehingga keadaan dunia kembali stabil.
“Inilah kekuatan Malaysia MADANI, ketika negara lain terpaksa melepaskan beban kepada rakyat, Malaysia memilih untuk melindungi (rakyat),” katanya.
















Tinggalkan Balasan