WASHINGTON, 17 April — Presiden Donald Trump pada Khamis berkata Amerika Syarikat (AS) “hampir” mencapai perjanjian dengan Iran ketika tempoh gencatan senjata dua minggu antara kedua-dua negara semakin hampir berakhir, lapor Anadolu Ajansi.
“Dan jika itu berlaku, harga minyak akan turun dengan banyak, harga akan turun dengan banyak, inflasi akan turun dengan banyak dan anda tidak akan berdepan malapetaka nuklear.
“Kami berurusan dengan sangat baik dengan pemimpin baharu Iran. Ini benar-benar satu perubahan rejim,” kata Trump kepada pemberita di Rumah Putih.
Bagaimanapun, Trump tidak memberikan petunjuk jelas sama ada gencatan senjata itu akan dilanjutkan.
“Saya tidak pasti ia perlu dilanjutkan. Iran mahu mencapai perjanjian dan kami berunding dengan mereka secara baik… dan mereka sanggup melakukan perkara hari ini yang mereka tidak sanggup lakukan dua bulan lalu,” kata Trump.
Beliau mendakwa Iran telah bersetuju untuk tidak membangunkan senjata nuklear.
Trump berkata beliau mungkin melawat Islamabad sekiranya perjanjian itu dimeterai.
Ketika ditanya mengenai pusingan seterusnya bagi rundingan secara langsung, Trump berkata ia mungkin berlangsung “barangkali pada hujung minggu ini.”
Beliau berkata perjanjian itu akan diumumkan tidak lama lagi.
“Itu akan memberi kita minyak percuma dan Selat Hormuz percuma. Semuanya akan menjadi baik, dan saya fikir harga minyak anda akan turun lebih rendah berbanding sebelumnya,” kata beliau.
Terdahulu pada Khamis, Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth memberi amaran bahawa tentera AS kekal “siap siaga sepenuhnya” untuk menyambung semula serangan sekiranya Iran menolak perjanjian itu.













Tinggalkan Balasan