KUALA LUMPUR, 16 April — Zetrix AI Bhd memeterai perjanjian pelantikan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi membolehkannya bertindak sebagai ejen Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).
Zetrix AI, yang dahulunya dikenali sebagai MY E.G. Services Bhd, memaklumkan bagi pelantikan sebagai ejen SKSPS, perjanjian tersebut akan berkuat kuasa selama 36 bulan bermula 18 Mac, 2026 sehingga 17 Mac, 2029.
Bagi SKSSR pula, perjanjian itu akan berkuat kuasa untuk tempoh 12 bulan, bermula dari 18 Mac, 2026 sehingga 17 Mac, 2027.
“Perjanjian ini boleh dilanjutkan oleh mana-mana pihak melalui pemberitahuan bertulis kepada pihak yang satu lagi tidak kurang dari satu bulan sebelum tarikh tamat tempoh perjanjian, atau ditamatkan oleh PERKESO atas apa jua alasan,” jelas Zetrix AI dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Ia menambah Zetrix AI dikehendaki menguruskan proses pendaftaran dan caruman untuk SKSPS dan SKSSR secara profesional, termasuk penghantaran data dan dokumen pencarum tepat pada masanya, serta memasukkan caruman secara penuh kepada PERKESO.
Organisasi itu juga bertanggungjawab untuk memastikan pemprosesan pendaftaran, caruman dan perlindungan dilakukan dengan segera untuk kedua-dua SKSPS dan SKSSR, termasuk menyediakan akses sistem serta sokongan operasi dan memaklumkan sebarang perubahan berkaitan aturan perkhidmatan.

















Tinggalkan Balasan