Biodiesel B15 Dilaksana Secara Berperingkat, Elak Ganggu Operasi Sedia Ada – Akmal Nasrullah

PUTRAJAYA, 17 April — Pelaksanaan kadar adunan biodiesel B15 akan dijalankan secara berperingkat untuk mengelak gangguan terhadap operasi industri sedia ada, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata pendekatan progresif itu penting memandangkan aspek operasi, khususnya di pusat adunan perlu disusun dengan teliti tanpa menjejaskan rantaian bekalan semasa.

“Jika dari segi penyusunan operasi di pusat adunan, tanpa perlu menaik taraf infrastruktur, adunan itu boleh dinaikkan daripada B10 kepada B15.

“Bagaimanapun, pelaksanaannya perlu dilakukan secara progresif dan berperingkat untuk memastikan operasi sedia ada tidak terganggu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat-Usahawan Tani (IPR-INTAN) di sini hari ini. 

Secara asas, B15 merujuk kepada campuran 15 peratus biodiesel berasaskan minyak sawit dengan 85 peratus diesel petroleum berbanding B10 ketika ini.

B10 merujuk kepada 10 peratus biodiesel dan 90 peratus diesel biasa.

Akmal Nasrullah berkata bagi mencapai tahap campuran lebih tinggi seperti B20, peningkatan dan pelaburan dalam infrastruktur adalah diperlukan.

“Sekiranya kita mahu ke tahap lebih tinggi B20 dan B30, pelaburan dalam infrastruktur perlu dibuat, iaitu menaik taraf infrastruktur tersebut. 

“Untuk sasaran jangka sederhana, ada keperluan untuk kita menaik taraf infrastruktur,” katanya.

Kerajaan sebelum ini bersetuju meningkatkan kadar adunan biodiesel daripada B10 kepada B15 bermula dengan B12, tanpa melibatkan sebarang kos tambahan susulan perkembangan krisis di Asia Barat.

Akmal Nasrullah turut dilaporkan berkata langkah itu bertujuan menjamin ketersediaan bekalan diesel negara bagi tempoh lebih panjang, selain mengurangkan kebergantungan kepada import bahan api fosil dan turun naik pasaran global.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa penstrukturan semula ekonomi menerusi peralihan kepada tenaga boleh baharu (TBB) perlu dipercepatkan.

Katanya beliau serta Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad akan turun padang ke sebuah premis di Pelabuhan Klang esok untuk menilai dan meninjau kesiapsiagaan fasiliti bagi penghasilan biodiesel.

Difahamkan, premis itu ialah KL-Kepong Oleomas Sdn Bhd (KLKOM), sebuah syarikat pengilangan oleokimia berpangkalan di Malaysia.

KLKOM merupakan sebahagian daripada divisyen KLK OLEO di bawah Kumpulan Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK), antara syarikat perladangan terbesar di dunia.