KUALA LUMPUR, 26 April — Malaysia perlu segera bergerak sebagai ekosistem nasional perniagaan yang bersepadu bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dipacu secara menyeluruh dan berkesan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata kerajaan dan pihak industri tidak boleh bekerja secara berasingan sebaliknya saling melengkapi terutama dalam berdepan ketidaktentuan dunia dan krisis bekalan global ketika ini.
Ahmad Zahid berkata hubungan antara kerajaan dan komuniti perniagaan seperti Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) adalah perkongsian strategik yang menentukan arah masa depan ekonomi negara.
“Kerajaan dan industri tidak boleh bersendirian. Kita mesti bergerak sebagai satu ekosistem nasional yang saling melengkapi, saling memperkukuh dan saling memacu pertumbuhan… kekuatan negara bergantung kepada keupayaan semua pihak untuk bergerak secara kolektif.
“Kerajaan boleh merangka dasar tetapi industri membawa realiti pelaksanaan. Kerajaan menyediakan hala tuju tetapi komuniti perniagaan menggerakkan ekonomi di lapangan,” katanya pada Majlis Minum Petang Apresiasi Kerajaan Bersama Komuniti Perniagaan di sini hari ini yang turut dihadiri Presiden ACCCIM Datuk Ng Yih Pyng.
Pada masa sama, Ahmad Zahid menegaskan kerajaan komited untuk memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah ekosistem perniagaan yang efisien, telus dan responsif.
Sehubungan dengan itu, katanya antara usaha yang sedang dipergiat kerajaan ialah mempercepat proses kelulusan, mengurangkan kerenah birokrasi, memperluas pendigitalan dalam sistem penyampaian dan memastikan setiap agensi berperanan sebagai pemudah cara.
Beliau berkata sesuatu dasar yang baik akan gagal jika penyampaiannya lambat kerana pelabur tidak hanya melihat kepada insentif, sebaliknya menilai kelajuan sesuatu keputusan dibuat serta keupayaan sistem negara untuk menyelesaikan masalah dengan cepat dan berkesan.
“Kita mahu Malaysia menjadi destinasi pilihan bukan secara kebetulan tetapi berasaskan keyakinan… para pelabur tidak ke tempat yang menawarkan insentif tertinggi, sebaliknya yang mempunyai keyakinan paling kukuh.
“Asas ekosistem (ekonomi dan perniagaan) kita matang dan jelas untuk memastikan setiap pelabur yang datang ke Malaysia berasa yakin, dilayan dengan profesional dan mampu berkembang dalam persekitaran yang stabil serta berdaya saing,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata walaupun negara berdepan dengan ketidaktentuan global termasuk gangguan rantaian bekalan dan tekanan harga tenaga dunia, Malaysia masih berdiri di atas asas ekonomi yang kukuh.
Beliau berkata perdagangan negara telah melepasi trilion ringgit, ekonomi terus berkembang dengan stabil dan inflasi kekal terkawal.
“Momentum ini berterusan apabila perdagangan Malaysia pada suku pertama 2026 meningkat sebanyak 10.4 peratus kepada RM789.85 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas
“Eksport meningkat 12.7 peratus kepada RM426.53 bilion antara pencapaian suku tahunan tertinggi pernah direkodkan, manakala import berkembang 7.7 peratus kepada RM363.31 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM63.22 bilion,” katanya.
Di sebalik pencapaian itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan tidak menutup mata terhadap tekanan sebenar yang sedang dihadapi oleh industri susulan ketidaktentuan harga tenaga, termasuk minyak, yang memberi kesan langsung kepada kos operasi perniagaan.
“Kerajaan tidak boleh sekadar memerhati pasaran. Kerajaan sedang memainkan peranan yang lebih aktif dan bertanggungjawab untuk memastikan ekonomi terus kukuh dan stabil,” katanya.














Tinggalkan Balasan