Perbelanjaan Bagi Barisan Hadapan Kekal Dilindungi Dalam Pelarasan – Amir Hamzah

KUALA LUMPUR, 30 April — Langkah pelarasan perbelanjaan mengurus tidak akan menjejaskan petugas barisan hadapan mahupun penyampaian perkhidmatan asas kepada rakyat, memandangkan hanya melibatkan perbelanjaan tidak kritikal, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Dalam kenyataan kepada Bernama pada Khamis, beliau menegaskan bahawa sektor kritikal seperti kesihatan, pendidikan dan keselamatan kekal menjadi keutamaan kerajaan, selaras dengan komitmen untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

“Kementerian-kementerian seperti Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan terutamanya mereka di barisan hadapan perkhidmatan akan terus menerima sokongan penuh seperti yang telah diluluskan.

“Ini termasuk memastikan hospital, sekolah dan perkhidmatan penting lain beroperasi tanpa gangguan,” katanya.

Amir Hamzah berkata kerajaan perlu memastikan setiap ringgit dibelanjakan dengan lebih berfokus.

“Penyelarasan ini membolehkan kita menyalurkan sumber kepada keperluan yang lebih mendesak, terutama untuk membantu golongan dan sektor yang paling terkesan,” katanya.

Amir Hamzah berkata pendekatan tersebut penting bagi memastikan kerajaan mempunyai keupayaan kewangan yang mencukupi untuk bertindak sekiranya krisis berlarutan untuk tempoh masa yang panjang.

“Ketidaktentuan global ketika ini bukan sesuatu yang bersifat sementara. Oleh itu, kita perlu bersedia dengan langkah yang realistik dan mampan supaya kerajaan kekal mampu memberi sokongan apabila diperlukan,” katanya.

Beliau menegaskan langkah pelarasan perbelanjaan mengurus, yang dilaksanakan pada masa ini hanya melibatkan perbelanjaan tidak kritikal, merupakan sebahagian daripada usaha berdisiplin memastikan negara kekal berdaya tahan dalam menghadapi tekanan ekonomi global yang semakin mencabar.

“Perkara yang disemak semula adalah perbelanjaan yang boleh ditangguhkan tanpa menjejaskan penyampaian kepada rakyat. Perkhidmatan asas akan terus berjalan seperti biasa,” katanya.

Amir Hamzah berkata pada masa sama, Kementerian Kewangan (MOF) telah menggariskan beberapa langkah pelarasan bagi meningkatkan kecekapan perbelanjaan awam, termasuk menangguhkan acara yang tidak mendesak, mengehadkan perjalanan rasmi ke luar negara, mengawal penggunaan utiliti, mengoptimumkan perbelanjaan agensi serta menangguhkan pengisian jawatan bukan kritikal.

Beliau berkata MOF akan terus melaksanakan langkah secara proaktif dan sistematik untuk memperkukuh pengurusan kewangan negara, di samping memastikan keseimbangan antara keperluan semasa dan kestabilan jangka panjang.

“Pendekatan kita jelas — stabilkan bekalan, lindungi golongan terkesan, pastikan ekonomi terus bergerak, dan pada masa yang sama jaga kedudukan kewangan negara supaya kekal kukuh dalam jangka masa panjang,” katanya.

Semalam, MOF telah mengeluarkan panduan kepada kementerian serta agensi untuk menyusun semula keutamaan bagi perbelanjaan mengurus, selaras dengan cabaran krisis bekalan global dan tanggungan subsidi yang meningkat.