Pengajian Bahasa Melayu Terus Berkembang Pesat Di China

KUALA LUMPUR, 7 Mei — Dalam situasi landskap geopolitik dan ekonomi global yang semakin beralih ke Asia, bahasa Melayu turut memperlihatkan peranan strategiknya sebagai bahasa serantau apabila semakin mendapat tempat dalam sistem pendidikan tinggi di China.

Perkembangan itu terserlah apabila sekurang-kurangnya 17 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara berkenaan kini menawarkan kursus berkaitan bahasa Melayu, termasuk program ijazah penuh, sekali gus mencerminkan peningkatan minat terhadap bahasa dan tamadun dunia Melayu.

Tokoh bahasa dan persuratan negara, Senator Datuk Seri Profesor Dr Awang Sariyan berkata daripada jumlah itu, 13 universiti menawarkan program ijazah bahasa Melayu selama empat tahun, yang merangkumi pelbagai aspek yang setara dengan program di universiti tempatan seperti Universiti Malaya dan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

“Perkembangan ini amat membanggakan kerana pengajian bahasa Melayu di China tidak hanya tertumpu kepada linguistik semata-mata, tetapi merangkumi keseluruhan aspek tamadun seperti sastera, budaya, sejarah, media dan sosioekonomi.

“Pendekatan komprehensif itu turut melibatkan latihan analisis terhadap isu semasa di Malaysia termasuk kandungan media tempatan, sekali gus membantu pelajar memahami konteks sebenar masyarakat Melayu dan negara ini,” katanya kepada Bernama.

Penasihat Kehormat Pusat Pengajian Melayu China di Beijing Foreign Studies University (BFSU) itu berkata selain program ijazah, terdapat dua IPT menawarkan diploma bahasa Melayu selama tiga tahun, manakala beberapa universiti lain menyediakan kursus bahasa berkenaan bagi tujuan hubungan antarabangsa.

Beliau berkata perkembangan itu turut melangkaui IPT apabila maktab perguruan serta sekolah menengah di selatan China mula menawarkan bahasa Melayu sebagai subjek elektif.

“Dalam tempoh kurang daripada sedekad, perkembangan ini sangat ketara. Ketika saya mula ke China, hanya tiga universiti menawarkan program ijazah bahasa Melayu, namun kini jumlahnya meningkat dengan pesat,” katanya yang pernah menyandang Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di China pada 2008 hingga 2011 dan 2016 hingga 2018.

Beliau yang juga Profesor Emeritus Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia itu berkata peningkatan berkenaan didorong kerjasama erat antara Malaysia dan China, termasuk peranan institusi pendidikan serta jaringan akademik yang aktif mempromosikan pengajian Melayu di negara berkenaan.

Universiti di China juga menunjukkan komitmen tinggi dengan mewajibkan kehadiran sekurang-kurangnya seorang pensyarah penutur jati bahasa Melayu dari Malaysia bagi memastikan ketepatan bahasa serta kefahaman budaya.

“Mereka sanggup melabur kerana melihat pulangan jangka panjang, termasuk melahirkan tenaga profesional seperti penterjemah, jurubahasa dan eksekutif yang mampu menghubungkan urusan antara syarikat China dan agensi di Malaysia,” katanya yang juga Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM.

Awang berkata pendekatan China yang menjadikan bahasa sebagai “jendela untuk mengenali dunia” membolehkan pelajar bukan sahaja menguasai bahasa, malah memahami ekonomi, sejarah dan sistem sosial negara yang dipelajari.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengajian Melayu China di BFSU Prof Dr Su Ying Ying berkata minat pelajar China terhadap bahasa Melayu didorong persepsi positif terhadap Malaysia sebagai negara yang aman serta mempunyai hubungan baik dengan China.

“Pada pandangan masyarakat China, Malaysia itu aman, cantik, makanannya sedap dan rakyatnya mesra serta mudah berkawan dengan orang China, jadi bahasa Melayu menjadi antara pilihan pelajar untuk melanjutkan pengajian,” katanya.

Su berkata kebanyakan pelajar mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik dalam tempoh kira-kira dua tahun walaupun tanpa asas awal sebelum memasuki universiti.

“Dalam tempoh dua tahun pertama, pelajar didedahkan kepada kemahiran asas seperti bertutur, mendengar, menulis dan menterjemah sebelum meneruskan pengajian kepada aspek lebih mendalam termasuk sastera Melayu, sejarah Malaysia, sistem politik dan hubungan kaum.

“Pelajar bukan sahaja belajar bahasa, tetapi perlu memahami Malaysia secara menyeluruh kerana bahasa berkait rapat dengan budaya dan masyarakat,” katanya.

Beliau yang juga mesra disapa Suria berkata ketika ini dianggarkan antara 500 hingga 530 pelajar sedang mengikuti pengajian bahasa Melayu di seluruh China dengan lebih 50 tenaga pengajar terlibat dalam bidang itu.

BFSU antara institusi terawal memperkenalkan pengajian bahasa Melayu di China dan kini menjadi pusat rujukan utama dalam pembangunan bidang berkenaan.

“Prospek kerjaya yang luas turut menjadi faktor peningkatan minat pelajar, khususnya susulan hubungan ekonomi yang semakin kukuh antara China dan Malaysia.

“Banyak syarikat China membuka operasi di Malaysia dan memerlukan tenaga kerja yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu. Walaupun bahasa Inggeris boleh digunakan, penguasaan bahasa Melayu memberikan kelebihan yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata peluang pekerjaan dalam bidang berkaitan bahasa itu kini semakin meluas, khususnya dalam sektor korporat, perdagangan dan hubungan antarabangsa.