Agong Berkenan Kurnia DMIJ Kepada Enam Penerima

JOHOR BAHRU, 9 Mei — Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Yang Kedua, Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) kepada enam penerima. 

Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Pengurus Besar Perbadanan Islam Johor (PIJ) Datin Paduka Shubanah Yusuf mendahului senarai penerima darjah berkenaan.

DMIJ membawa gelaran Datuk dan Datin Paduka.

Turut menerima darjah berkenaan ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor Datuk Nasri Md Ali, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor Datuk Radzi Mohd Amin dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) Datuk Hasrin Kamal Hashim. 

DMIJ turut dikurniakan kepada Pengarah Tanah dan Galian Johor Datuk Mohammed Shakib Ali dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar.

Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Darjah dan Pingat berkenaan bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda pada 23 Mac lepas. 

Pengurniaan Darjah dan Pingat itu disempurnakan oleh Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail pada Majlis Darjah dan Pingat bagi daerah Johor Bahru, Pontian, Kota Tinggi dan Kulai di Dewan Utama, MBIP hari ini. 

Berangkat sama, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Besar Zabedah Almarhum Sultan Iskandar.

Sementara itu, sebanyak 27 penerima dikurniakan Pingat Lama dan Baik Dalam Perkhidmatan (PLP), Pingat Jasa dan Lama Dalam Pekerjaan (PJP) kepada 21 penerima, Pingat Sultan Ibrahim Pangkat Kedua (48) dan 12 individu menerima Pingat Sultan Ibrahim Pangkat Ketiga.