Sejak kebelakangan ini, China giat melaksanakan strategi pendigitalan pendidikan di peringkat kebangsaan, berkongsi sumber pendidikan digital yang berkualiti dengan golongan pelajar di seluruh dunia dan berganding bahu dengan pelbagai pihak untuk membina ekosistem pendidikan digital yang lebih adil, inklusif dan mampan dalam senario global.
Demikian dinyatakan Naib Presiden China, Han Zheng ketika menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Persidangan Pendidikan Digital Dunia 2026 yang bertemakan “AI + Pendidikan: Transformasi, Pembangunan, Tadbir Urus” di sini Isnin.
Menurut Han, “kecerdasan buatan (AI) mempunyai pengaruh mendalam terhadap sektor pendidikan, dan perlu memaju pendidikan AI di semua peringkat persekolahan dan kempen literasi untuk seluruh masyarakat”. Ini bertepatan dengan arahan yang dibuat Presiden China, Xi Jinping.
Han menunjukkan bahawa perkembangan AI bukan sahaja merupakan peluang penting untuk pembangunan pendidikan di peringkat global, malah juga cabaran bersama yang dihadapi oleh pelbagai negara. China bersedia bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk membincangkan wawasan pembangunan dan kaedah tadbir urus tentang pendidikan digital, menambah baik sistem peraturan dan kriteria serta bersama-sama memacu transformasi dan inovasi pendidikan digital.
Beliau turut mengemukakan empat cadangan. Pertama, berusaha melahirkan generasi baharu yang mahir menyelesaikan masalah, berkeupayaan melakukan pembelajaran sepanjang hayat, mampu mengendalikan AI, dan membimbing pembangunan masa depan.
Kedua, mendorong pembinaan dan perkongsian bersama infrastruktur digital agar manfaat daripada integrasi teknologi digital dan pendidikan dapat dinikmati oleh lebih ramai orang.
Ketiga, mewujudkan sistem pemantauan dan penilaian risiko untuk memastikan nikmat pembangunan teknologi AI benar-benar dirasai golongan pelajar secara menyeluruh.
Keempat, mengekalkan sikap terbuka dan semangat inovatif, bergantung pada kerangka pelbagai hala seperti UNESCO, memanfaatkan peranan Perikatan Pendidikan Digital Dunia (WDEA), mengeratkan pertukaran dan kerjasama antarabangsa, dan bersama-sama mendorong pembangunan pendidikan digital yang sihat.
Yang turut hadir dan menyampaikan ucapan pada majlis tersebut juga termasuk Ketua Pengarah UNESCO, Audrey Azoulay, sedangkan Presiden Konfederasi Switzerland yang juga Ketua Jabatan Hal Ehwal Ekonomi, Pendidikan dan Penyelidikan, Guy Parmelin menyampaikan ucapan menerusi video.
Selain itu, majlis perasmian Persidangan itu telah menghimpunkan lebih 850 peserta daripada jabatan kerajaan, organisasi antarabangsa, sekolah, universiti, sektor korporat dan kalangan akademik dari dalam dan luar negara.













Tinggalkan Balasan