China Bersedia Tambah Dialog mengenai Ekonomi Baharu, Sokong Pembaharuan WTO

China bersedia bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk menambah dialog dan komunikasi mengenai ekonomi baharu, bersama-sama menyokong pembaharuan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), bertindak pantas dan fleksibel dalam menggalakkan integrasi ekonomi serantau, serta menyuntik lebih banyak tenaga positif ke dalam pembangunan ekonomi Asia-Pasifik dan global melalui pencapaian baharu dalam pemodenan ala China.

Demikian dinyatakan Naib Perdana Menteri, He Lifeng ketika berucap dalam Mesyuarat Menteri Perdagangan APEC ke-32 di bandar Suzhou, provinsi Jiangsu pada Sabtu.

He yang juga merupakan Ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China menyatakan bahawa dalam konteks landskap dunia yang mengalami perubahan drastik yang tiada tolok banding dalam sebabad lalu, kemakmuran bersama anggota APEC berdasarkan pembangunan yang terbuka, berkualiti, seimbang dan selamat tidak terlepas dari usaha memegang teguh konsep saling menghormati, saling mempercayai, kerjasama dan sama menang.

Semasa tempoh mesyuarat tersebut, He telah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Ketua Pengarah WTO, Ngozi Okonjo-Iweala, serta Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan Thailand, Supattanapong Punmeechaow untuk bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu berkaitan WTO serta kerjasama ekonomi dan perdagangan antara China dan Thailand.