KUALA LUMPUR, 26 Mei — Tourism Malaysia dan Singapore Airlines (SIA) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama untuk melonjakkan sektor pelancongan dan memperluas hubungan udara antara Malaysia dan Singapura.
Tourism Malaysia dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kerjasama itu mencerminkan komitmen bersama untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan, di samping meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara melalui rangkaian global SIA yang meluas merangkumi pasaran utama di Eropah, Australia dan rantau Asia Pasifik.
Kerjasama itu juga dapat menyokong pemulihan sektor penerbangan dan pelancongan Malaysia dengan memperkukuh jaringan hubungan hab serantau menerusi Singapura.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata kerjasama itu hadir pada waktu yang tepat ketika Malaysia memperhebat persiapan bagi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
“Melalui MoU ini, kami menyasarkan untuk melonjakkan penjenamaan Malaysia di pasaran berpotensi tinggi, memperkukuh jaringan hubungan dan melaksanakan kempen bersama yang berimpak bagi merangsang permintaan dan meningkatkan ketibaan pelancong berkualiti ke negara ini,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Serantau Asia Tenggara SIA Louis Leonard Arul berkata kerjasama itu mengukuhkan komitmen syarikat penerbangan berkenaan terhadap pertumbuhan sektor pelancongan Malaysia dan hubungan global.
Beliau berkata SIA akan menyelaraskan usaha di pasaran utama luar negara menerusi kempen bersasar dan inisiatif promosi yang mengetengahkan warisan budaya Malaysia, layanan mesra dan keindahan alam semula jadi negara melalui MoU berkenaan.
MoU yang dimeterai pada Mei 2026 itu berkuat kuasa selama setahun dan dijangka mampu meningkatkan daya tarikan pasaran dan ketibaan pelancong serta memperkukuh momentum TMM2026 hingga 2027.

















Tinggalkan Balasan