China, Rusia Eratkan Kerjasama Dalam Bidang Legislatif

MOSCOW, 1 Jun — Mekanisme pertukaran antara badan perundangan China dan Rusia yang semakin diperkemas memainkan peranan penting dalam mengoptimumkan kerjasama dua hala menerusi bidang legislatif, selain membantu rakyat kedua-dua negara saling mengenali hati budi. 

Badan legislatif kedua-dua pihak perlu terus mencetuskan momentum bagi mengekalkan pertukaran di pelbagai peringkat dan bidang, meningkatkan persefahaman serta rasa saling percaya, selain menimba pengalaman antara satu sama lain bagi menyumbang kepada pembangunan Perkongsian Kerjasama Strategik Komprehensif China-Rusia untuk Era Baharu.

Perkara itu dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan China, Zhao Leji dalam pertemuan berasingan dengan Pengerusi Majlis Persekutuan Rusia Matviyenko dan Pengerusi Duma Negara Volodin di sini pada Sabtu.

“Pertukaran antara kedua-dua pihak juga perlu tertumpu kepada bidang keselamatan negara, perlindungan ekologi alam sekitar, kecerdasan buatan (AI) serta penguatkuasaan undang-undang berkaitan urusan luar,” kata Zhao.

Selain itu, Zhao turut menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerjasama Parlimen China-Rusia ke-11 pada 28 Mei lepas dan menekankan keperluan untuk menyegerakan kelulusan dokumen undang-undang yang kondusif untuk kerjasama dua hala, selain menggesa pelaksanaannya.

“Perlu diwujudkan persekitaran perniagaan yang telus, adil dan stabil, melindungi hak serta kepentingan sektor korporat dan menyediakan jaminan undang-undang bagi kerjasama dua hala dalam bidang substantif.

“Kedua-dua pihak perlu memanfaatkan sepenuhnya mekanisme dan platform sedia ada, menonjolkan peranan badan perundangan di peringkat daerah serta menyediakan anjakan dan tujahan dalam memperluas kerjasama daerah.

“Kedua-dua pihak juga perlu mengadakan koordinasi erat dalam mekanisme pelbagai hala seperti Inter-Parliamentary Union (IPU) bagi mendorong keadilan dan kesaksamaan di arena antarabangsa,” kata Zhao.

Untuk rekod, Zhao mengadakan lawatan rasmi ke Rusia dari 27 hingga 30 Mei lepas atas undangan Matviyenko dan Volodin.