Sindiket Penipuan Tumpas: Ahli Parlimen Labuan Gesa Pemilik Premis Saring Penyewa

LABUAN, 3 Jun — Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abd Rahman menggesa pemilik hartanah di pulau bebas cukai itu supaya lebih berhati-hati apabila menyewakan premis mereka bagi mengelak disalahgunakan untuk operasi penipuan dalam talian.

Beliau berkata serbuan oleh polis baru-baru ini di sebuah bangunan komersial di pusat bandar Labuan, yang membawa kepada penahanan 57 individu dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan antarabangsa, seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pemilik hartanah.

“Penyewa didapati memberikan maklumat yang mengelirukan mengenai tujuan menyewa premis tersebut dengan mendakwa ruang itu akan digunakan untuk aktiviti pelaburan berkaitan sektor agro.

“Namun, tiada siapa menyangka premis itu sebenarnya digunakan sebagai pusat panggilan untuk menjalankan skim pelaburan palsu yang menyasarkan mangsa di luar negara,” katanya kepada Bernama hari ini

Suhaili berkata tuan rumah atau pemilik premis perlu menjalankan semakan latar belakang yang menyeluruh terhadap bakal penyewa, termasuk mengesahkan aktiviti perniagaan serta dokumen sokongan mereka sebelum menandatangani perjanjian sewaan.

Beliau memuji pihak polis dan agensi penguatkuasaan lain atas tindakan pantas mereka dalam menumpaskan sindiket tersebut.

“Saya percaya ia serbuan kedua di pulau ini setakat ini melibatkan penipuan pelaburan. Pihak berkuasa bertindak dengan cepat dan profesional…kejayaan mereka membantu melindungi bakal mangsa serta menjaga reputasi Labuan sebagai lokasi selamat dan berwibawa untuk perniagaan dan pelaburan,” katanya.

Suhaili menegaskan bahawa sindiket jenayah sering menyamar kononnya menjalankan perniagaan yang sah, sekali gus menjadikan sikap berwaspada dalam kalangan pemilik hartanah menjadi semakin penting.

Beliau berkata bangunan diserbu itu sebelum ini beroperasi sebagai Hotel Sara sebelum pihak pengurusan memutuskan untuk menghentikan operasi hotel berkenaan pada Disember 2025.

Bangunan tersebut kemudian ditukar menjadi ruang pejabat komersial dan disewakan kepada pelbagai penyewa

Pada 1 Jun lepas, polis menyerbu premis berkenaan dan menahan 57 individu berusia antara 20 hingga 46 tahun dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang menyasarkan mangsa di Korea Selatan.

Suspek terdiri daripada 48 warga China, lapan warga Vietnam dan seorang rakyat Malaysia.

Mahkamah Sesyen di sini semalam membenarkan perintah reman terhadap semua suspek sehingga 6 Jun ini bagi membantu siasatan.