KUALA LUMPUR, 13 Jun — Larangan akses media sosial untuk kanak-kanak bawah 16 tahun di Australia, yang disifatkan sebagai yang pertama seumpamanya di dunia menunjukkan tanda awal kejayaan apabila pemilikan akaun golongan bawah umur menurun 37 peratus dan lebih lima juta akaun disekat sejak undang-undang itu berkuat kuasa, menurut pengawal selia keselamatan dalam talian negara itu.
Pengawal selia berkenaan, eSafety menyatakan penyelidikan yang dijalankan selepas perundangan itu berkuat kuasa pada 10 Dis 2025 mendapati pemilikan akaun dalam kalangan individu bawah 16 tahun menurun daripada 49.7 peratus kepada 31.3 peratus, manakala ibu bapa melaporkan kejayaan lebih baik dalam menetapkan batasan yang lebih sihat terhadap penggunaan media sosial.
Perundangan itu mewajibkan syarikat media sosial mengambil langkah munasabah untuk menghalang kanak-kanak bawah umur 16 tahun daripada memiliki akaun, dengan platform yang gagal mematuhi peraturan boleh didenda sehingga A$49.5 juta (US$32 juta).
Di bawah Akta Pindaan Keselamatan Dalam Talian (Umur Minimum Media Sosial) 2024, tanggungjawab terletak pada syarikat teknologi dan bukannya ibu bapa atau kanak-kanak bagi menghalang individu bawah 16 tahun daripada memiliki akaun media sosial.
Platform yang tertakluk kepada sekatan itu termasuk TikTok, Facebook, Instagram, Snapchat, X, Reddit dan YouTube. Tiada penalti dikenakan terhadap kanak-kanak yang mengelak sekatan itu atau ibu bapa mereka.
“Ringkasnya, ini bukan mengenai menyekat akses media sosial kepada kanak-kanak bawah umur, sebaliknya mengenai menyekat media sosial daripada menjangkau anak-anak kita,” menurut eSafety dalam respons bertulis yang disalurkan menerusi Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia.
Pelaksanaan undang-undang itu menerima pelbagai reaksi daripada pengguna dalam talian, penyokong kebebasan bersuara dan pemerhati teknologi.
Perbincangan mengenai isu itu mendapat perhatian lebih meluas selepas pemilik X, Elon Musk secara terbuka mengkritik Pesuruhjaya eSafety Julie Inman Grant. Inman Grant berkata beliau kemudian berdepan ancaman dalam talian dan serangan peribadi.
Isu itu mencerminkan perbincangan berterusan mengenai keseimbangan antara memperkukuh langkah keselamatan dalam talian dan melindungi kebebasan bersuara dalam ruang digital.
Kritikan semakin memuncak selepas Musk secara terbuka melabel beliau sebagai “komisar penapisan”. Inman Grant berkata beliau menerima ugutan bunuh, maklumat peribadinya disebarkan dalam talian serta anggota keluarganya turut menjadi sasaran di internet.
Bagaimanapun, eSafety menyatakan pembaharuan itu dirangka bagi melindungi kanak-kanak daripada kandungan berbahaya, penderaan dalam talian, corak penggunaan kompulsif dan hubungan tidak diingini daripada individu tidak dikenali, bukannya menghukum golongan muda atau mengasingkan mereka daripada teknologi.
“Langkah pembaharuan ini mengiktiraf bahawa produk media sosial yang sangat imersif dan persuasif boleh mendedahkan kanak-kanak kepada risiko pada peringkat perkembangan kritikal, termasuk kandungan berbahaya, penderaan dalam talian, corak penggunaan kompulsif dan hubungan tidak diingini daripada individu tidak dikenali,” menurut eSafety.
Menjawab kebimbangan mengenai cubaan mengelak sekatan menerusi VPN, akaun alternatif atau akaun milik orang dewasa, eSafety berkata Australia mengguna pakai pendekatan berkecuali teknologi dengan mewajibkan platform melaksanakan langkah yang mampu menghalang cubaan mengelak sekatan itu.
Bagaimanapun, eSafety menyatakan ia tetap bimbang terhadap aspek pematuhan industri dan terus menyiasat sama ada platform memenuhi tanggungjawab mereka di bawah undang-undang Australia.
Mengenai kebimbangan privasi, eSafety menyatakan usaha melindungi privasi dan keselamatan boleh dilaksanakan secara seiring sambil menjelaskan Australia tidak menetapkan penggunaan satu teknologi pengesahan umur tertentu atau meminta platform mengumpul lebih banyak maklumat peribadi daripada yang diperlukan.
eSafety juga sedang menjalankan kajian membujur melibatkan lebih 4,000 kanak-kanak dan keluarga selama dua tahun bagi menilai kesan pembaharuan itu terhadap kesejahteraan, kesihatan mental, tingkah laku dalam talian dan hubungan kekeluargaan.
Sementara itu, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Simon Fellows berkata Australia dan Malaysia sedang bertukar-tukar pengalaman mengenai keselamatan dalam talian serta pendekatan umur minimum media sosial pada peringkat pegawai kanan dan teknikal.













Tinggalkan Balasan