Perdagangan Malaysia Capai RM327.6 Bilion Pada Mei 2026, P.Pinang Peneraju Eksport, Import

KUALA LUMPUR, 26 Jun — Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM327.6 bilion pada Mei 2026 dengan eksport dan import masing-masing bernilai RM184.0 bilion dan RM143.6 bilion, menurut Jabatan Perangkaan.

Menurut laporan Statistik Eksport Import Mei 2026 yang dikeluarkan hari ini, Pulau Pinang menyumbang bahagian terbesar daripada eksport dan import sekali gus menyokong prestasi perdagangan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan sama berkata eksport meningkat sebanyak RM57.4 bilion atau 45.3 peratus berbanding Mei 2025.

Peningkatan eksport itu dipengaruhi oleh eksport yang lebih tinggi di Pulau Pinang (RM50 bilion), Johor (RM6.6 bilion), Kuala Lumpur (RM2.1 bilion), Sarawak (RM1.7 bilion), Perak (RM504.4 juta), Terengganu (RM346.0 juta) dan Kelantan (RM35.7 juta). 

Mohd Uzir berkata, bagaimanapun, nilai eksport menurun di Sabah sebanyak RM1.1 bilion, Pahang (RM905.8 juta), Melaka (RM569.7 juta), Selangor (RM509.1 juta), Labuan (RM282.9 juta), Kedah (RM183.4 juta), Negeri Sembilan (RM154.1 juta) dan Perlis (RM10.3 juta).

“Pulau Pinang menyumbang  52.1 peratus, diikuti oleh Johor (17 peratus), Selangor (12.7 peratus), Sarawak (5 peratus) dan Kuala Lumpur (3.7 peratus),” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata berkata import meningkat RM17.8 bilion atau 14.1 peratus berbanding bulan yang sama pada 2025. 

Beliau berkata peningkatan import didorong oleh import yang lebih tinggi di Pulau Pinang (RM13.2 bilion), Johor (RM9.2 bilion), Kedah (RM1.3 bilion), Negeri Sembilan (RM1 bilion), Kuala Lumpur (RM496.4 juta), Sabah (RM245 juta), Pahang (RM68.1 juta), Labuan (RM31.5 juta) dan Terengganu (RM2.2 juta).

Bagaimanapun, nilai import menurun di Selangor sebanyak RM4.7 bilion, Melaka (RM1.4 bilion),  Perak (RM215.8 juta), Perlis (RM117.2 juta), Sarawak (RM55.1 juta) dan Kelantan (RM41.3 juta). 

“Pulau Pinang mendominasi dengan sumbangan 29.4 peratus, diikuti oleh Johor (24.4 peratus), Selangor (22.4 peratus), Kuala Lumpur (8.3 peratus) dan Kedah (4.8 peratus),” katanya.