BOGOTA, 26 Jun — Angka kematian dalam kejadian dua gempa bumi berturut-turut yang memusnahkan pantai utara Venezuela pada Rabu telah meningkat kepada 235, dengan lebih 4,300 yang lain cedera, Menteri Kesihatan Carlos Alvarado mengesahkan pada Khamis, Anadolu Ajansi melaporkan, memetik penyiar tempatan.
Bercakap di rangkaian kendalian kerajaan Venezolana de Televisión (VTV), Alvarado menyatakan pasukan perubatan bekerja sepanjang masa.
“Dalam sistem kesihatan awam, kita telah merawat lebih 4,300 individu yang cedera,” kata Alvarado. “Tragiknya, ini termasuk 235 pesakit yang sama ada tiba di kemudahan kesihatan kami tanpa tanda-tanda vital atau meninggal dunia sejurus selepas dimasukkan.”
Alvarado menyatakan sebahagian besar mangsa dan kecederaan parah tertumpu di negeri pantai La Guaira. Negeri utara, yang berfungsi sebagai pintu masuk maritim dan udara utama ke Caracas serta menempatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Simon Bolivar di Maiquetia. Terminal itu terus ditutup kerana kerosakan struktur yang meluas.
Bagi mengatasi limpahan pesakit trauma dari klinik tempatan, pihak berkuasa telah mula membina hospital lapangan sementara di seluruh kawasan pantai.
Kemusnahan yang meluas berpunca daripada “kembar seismik” yang jarang berlaku iaitu fenomena dua kejadian tektonik berintensiti tinggi berlaku hampir serentak di kawasan yang sama.
Pada petang Rabu, gegaran awal 7.2 magnitud berhampiran San Felipe diikuti hanya 39 saat kemudian oleh gegaran utama 7.5 di tenggara Yumare.













Tinggalkan Balasan