Kempen PRN Johor Dijangka Lebih Hangat Minggu Kedua

JOHOR BAHRU, 4 Julai — Tujuh hari pertama tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 memperlihatkan momentum agak sederhana apabila semua jentera parti yang bertanding dilihat lebih cenderung mendekati pengundi secara bersasar berbanding mengadakan ceramah berskala besar.

Penganalisis politik Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata semua parti dilihat menyesuaikan pendekatan kempen dengan landskap politik semasa menerusi kaedah lebih peribadi, termasuk ziarah dari rumah ke rumah, pertemuan dalam kelompok kecil serta penganjuran program komuniti.

Beliau berkata strategi sedemikian bukan sahaja memberi ruang kepada calon memahami denyut nadi pengundi secara bersemuka, malah membolehkan parti politik mengukuhkan jentera serta mengoptimumkan sumber kempen sebelum melangkah ke fasa kedua yang dijangka lebih kritikal.

“Minggu pertama lebih bersifat membina asas kempen. Formula kempen bersasar ini memberi kelebihan kepada calon untuk memperkemaskan benteng pertahanan di kawasan yang ditandingi,” katanya kepada Bernama.

Pensyarah Kanan Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata semua jentera parti masih belum menampilkan kekuatan sebenar dan menjangkakan suhu kempen akan menjadi lebih hangat pada minggu kedua.

Katanya keadaan itu akan didorong oleh kehadiran pemimpin utama parti, peningkatan intensiti ceramah dan penggunaan kempen digital yang lebih agresif bagi mempengaruhi pengundi yang masih belum membuat keputusan.

Geostrategis Dr Azmi Hassan pula berkata gerak kerja kempen pilihan raya moden kini lebih berpandukan data, selain setiap parti turut mengamalkan pendekatan hibrid dengan memanfaatkan platform media sosial secara agresif.

“Jika dahulu kempen banyak diadakan secara besar-besaran di kawasan terbuka, kini jentera digerakkan untuk bertemu secara langsung dengan pengundi mengikut kategori putih, kelabu dan hitam, iaitu penyokong, neutral dan pembangkang,” katanya.

Sementara itu, penyelidik Ilham Centre Mujibu Abd Muis berkata setakat ini naratif kempen yang dibawa semua parti lebih tertumpu kepada tiga perkara utama iaitu rekod pencapaian, tawaran masa depan dan usaha meyakinkan pengundi bahawa parti masing-masing mampu menawarkan kestabilan politik.

Pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu bagaimanapun berkata naratif berkenaan masih belum menghasilkan satu tema dominan yang mampu mengubah landskap kempen secara menyeluruh.

“Keberkesanan sesuatu naratif bergantung kepada sejauh mana ia dapat diterjemahkan kepada isu yang dekat dengan kehidupan harian pengundi seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan setempat dan kualiti perkhidmatan awam,” katanya.

Mujibu berkata minggu pertama kempen juga menyaksikan kebanyakan jentera parti lebih tertumpu di bahagian utara Johor, termasuk daerah Muar, Tangkak, Segamat serta sebahagian kawasan Batu Pahat dan Kluang.

Katanya keadaan itu menunjukkan parti-parti bertanding sedang mengoptimumkan sumber kempen dengan memberi keutamaan kepada kerusi yang dianggap kompetitif atau berpotensi menjadi penentu keputusan pilihan raya.

“Kawasan utara Johor mempunyai beberapa kerusi yang dijangka menyaksikan persaingan sengit. Kehadiran pemimpin nasional bukan sekadar untuk menarik perhatian, tetapi turut memberi isyarat bahawa kawasan itu adalah keutamaan strategik bagi parti masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata kemeriahan kempen politik di Johor setakat ini lebih tertumpu kepada pertembungan antara dua gabungan utama iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Mazlan berkata PH dilihat mempunyai pengaruh lebih kuat di kawasan kritikal terutama di bahagian selatan dan barat Johor, manakala BN pula berpeluang cerah mendominasi kawasan pantai timur negeri itu, khususnya di Mersing dan Kota Tinggi.

“Strategi mobilisasi jentera kempen pada asasnya berkait rapat dengan bagaimana sesebuah gabungan menilai kemampuan mereka untuk menang di sesuatu kawasan,” katanya.

Pada masa sama, semua penganalisis bersetuju setiap parti perlu memberi tumpuan kepada usaha memujuk pengundi menunaikan tanggungjawab mereka kerana kadar keluar mengundi dijangka memberi impak besar terhadap keputusan akhir PRN Johor.

PRN Johor kali ini menyaksikan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai manakala pengundian awal berlangsung pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor