MIAMI, 4 Julai — Juara dunia Argentina mengesahkan tempat ke pusingan 16 Piala Dunia FIFA 2026 selepas mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke atas pendatang baharu Cape Verde dalam masa tambahan pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Penyokong Cape Verde menangis apabila jaringan Deroy Duarte pada minit ke-59 memadamkan gol pembukaan Lionel Messi pada separuh masa pertama.
Penjaga gol Vozinha turut melakukan beberapa aksi menyelamat cemerlang untuk mengekalkan kedudukan seri, termasuk menafikan percubaan Messi bagi gol kemenangan sebanyak tiga kali.
Argentina segera memperkemas rentak permainan dan hanya memerlukan dua minit dalam masa tambahan untuk kembali mendahului menerusi rembatan Lisandro Martinez yang menerjah bumbung gawang hasil sepakan penjuru.
Juara bertahan itu sekali lagi dikejutkan apabila Sidney Lopes Cabral melepaskan rembatan lencong menarik dari sebelah kiri untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-103.
Namun, tuah ternyata memihak kepada Argentina apabila Diney Borges tertampan tandukan Christian Romero ke gawang sendiri pada minit ke-111.
Cape Verde gagal bangkit mencari gol penyamaan selepas itu, meskipun mempamerkan semangat juang tinggi.
Argentina dijadual menentang Mesir, yang terlebih dahulu menewaskan Australia 4-2 menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1.













Tinggalkan Balasan