KOTA BHARU, 9 Julai — Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki warga tempatan dan merampas tujuh ekor lembu yang dipercayai diseludup masuk dari Thailand dalam Ops Taring Kandang, pagi ini.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata dalam operasi pada 9.30 pagi itu,. sepasukan anggota Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Tenggara PGA Kuantan sedang melakukan rondaan sebelum menahan sebuah motolori jeni Hicom berwarna putih dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati kenderaan itu membawa tujuh ekor lembu, manakala suspek berusia 32 tahun yang juga pemandu gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan haiwan ternakan terbabit.
“Kes dan rampasan kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Veterinar Kelantan untuk siasatan serta tindakan lanjut mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.
“Rampasan membabitkan sebuah motolori bernilai kira-kira RM150,000 dan tujuh ekor lembu seberat kira-kira 2,800 kilogram dianggarkan bernilai RM42,000, menjadikan keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM192,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku haiwan ternakan itu akan dihantar ke sebuah kandang di Kampung Laut, Tumpat.
Menurutnya, suspek turut mengaku mengambil lembu berkenaan dari sebuah kandang di Kampung Neting, Tumpat dan menerima upah RM150 bagi setiap penghantaran.
PGA terus mempergiat usaha membanteras kegiatan penyeludupan haiwan ternakan di sempadan, selain memastikan tiada pembolosan berlaku.

















Tinggalkan Balasan