AirBorneo Buka Jualan Tiket Laluan Antarabangsa Pertama Ke Singapura 13 Julai

KUCHING, 11 Julai — AirBorneo Airways akan membuka jualan tiket bagi laluan antarabangsa pertamanya menghubungkan Kuching dan Singapura, bermula 13 Julai ini, menjelang pelancaran perkhidmatan penerbangan harian pada 22 Julai bersempena dengan sambutan Hari Sarawak.

Syarikat penerbangan milik Kerajaan Negeri Sarawak itu memaklumkan jualan tiket akan dibuka bermula 10 pagi, 13 Julai dengan promosi sehala termasuk semua caj bermula RM399 bagi Kelas Ekonomi dan RM871 bagi Kelas Perniagaan.

“Perkhidmatan harian baharu antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Terminal 4 Lapangan Terbang Changi, Singapura akan memperkukuh hubungan udara Sarawak dengan satu daripada hab penerbangan, dan membuka peluang baharu dalam perdagangan, pelancongan dan pelaburan antara Sarawak dan Singapura,” menurut kenyataan itu.

AirBorneo memaklumkan pemilihan tarikh penerbangan pertama itu amat bermakna kerana bertepatan dengan sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai, iaitu hari memperingati pemerintahan negeri itu serta kemajuan berterusannya.

“Pelancaran laluan antarabangsa pertama AirBorneo pada hari bersejarah ini  mencerminkan aspirasi Sarawak yang semakin berkembang dalam sektor penerbangan, sekali gus memperkukuh keyakinan negeri itu untuk meluaskan jaringan, memperkasakan hubungan, perdagangan dan peluang baharu melangkaui sempadan Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin dalam kenyataan sama berkata pelancaran laluan baharu itu merupakan satu pencapaian penting dalam perkembangan syarikat penerbangan berkenaan.

Beliau berkata perkhidmatan penerbangan Kuching-Singapura mencerminkan langkah besar dalam perjalanan pertumbuhan AirBorneo apabila buat kali pertamanya syarikat itu meluaskan rangkaian penerbangan dari Sarawak ke destinasi di luar Malaysia.

“Singapura ialah hab serantau dan antarabangsa yang penting, dan laluan baharu ini akan mewujudkan peluang bermakna dalam perdagangan, pelancongan serta pelaburan antara Sarawak dengan rantau lebih luas.

“Kami kekal komited menghubungkan rakyat, perniagaan dan peluang melalui perkhidmatan penerbangan yang selamat serta boleh dipercayai. Pencapaian ini mencerminkan aspirasi jangka panjang kami untuk terus mengembangkan rangkaian antarabangsa AirBorneo demi menyokong pembangunan ekonomi dan sosial Sarawak,”  katanya.

Berdasarkan jadual, penerbangan MY363 akan berlepas dari Kuching pada 6.50 petang dan tiba di Singapura pada 8.25 malam setiap hari, manakala penerbangan pulang pula MY364 akan berlepas dari Singapura pada 9.15 malam dan tiba di Kuching 10.50 malam.

Tiket boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi dan aplikasi mudah alih AirBorneo.

AirBorneo, yang mengambil alih operasi daripada MASWings pada Januari tahun ini, kini menawarkan perkhidmatan ke 21 destinasi menggunakan dua pesawat Boeing 737-800, lapan pesawat ATR 72-500 dan enam pesawat DHC-6-400 Twin Otter, meliputi laluan ke bandar utama serta kawasan pedalaman tanah tinggi.