KUALA LUMPUR, 12 Julai — Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Chongqing Rail Transit (CRT), China bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam meningkatkan keupayaan operasi, kebolehpercayaan sistem, perkongsian kepakaran teknikal dan pembangunan bakat dalam pengoperasian sistem monorel.
Prasarana dalam kenyataan hari ini memaklumkan MoU itu ditandatangani pada 9 Julai di Menara Prasarana oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Amir Hamdan manakala CRT diwakili Pengerusi merangkap Pengurus Besar Hu Zhiyong.
“Kerjasama ini memberi tumpuan kepada perkongsian amalan terbaik dalam aspek kebolehpercayaan sistem dan pengurusan aset, pendigitalan operasi, penggunaan analitik data penyelenggaraan ramalan (predictive maintenance), standard operasi dan keselamatan.
“Di samping itu, ia juga menumpukan kepada pembangunan kompetensi tenaga kerja melalui latihan bersama-sama, lawatan teknikal serta pertukaran kepakaran,” menurut kenyataan itu.
Amir dalam kenyataan sama berkata kerjasama itu membuka peluang kepada Prasarana memperluas akses kepada amalan terbaik global dalam aspek kebolehpercayaan sistem rel, strategi penyelenggaraan dan kecekapan operasi.
“Perkongsian pengetahuan ini penting bagi memastikan perkhidmatan yang lebih selamat, lancar dan boleh dipercayai terus dinikmati pengguna,” katanya.
Beliau berkata kerjasama dengan CRT, iaitu antara pengendali monorel terkemuka dunia, akan membantu Prasarana memperkukuh ekosistem operasi Monorel Kuala Lumpur yang telah berkhidmat selama lebih dua dekad, selaras dengan perkembangan teknologi dan amalan terbaik antarabangsa.
Prasarana memaklumkan delegasi CRT turut mengadakan lawatan teknikal ke Depoh Monorel bagi meninjau operasi harian dan amalan penyelenggaraan sistem monorel yang dikendalikan Prasarana.
Prasarana memaklumkan MoU itu menjadi rangka kerja bagi meneroka peluang kerjasama strategik tanpa melibatkan sebarang komitmen kewangan pada peringkat ini, selain mewujudkan mekanisme komunikasi bersama-sama untuk menyelaras pelaksanaan inisiatif serta memantau kemajuan kerjasama secara berkala.
“Melalui kerjasama itu, Prasarana dan CRT berkongsi aspirasi untuk terus memperkukuh kecemerlangan operasi sistem monorel, sekali gus menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih selamat, cekap dan mampan kepada rakyat,” menurut kenyataan itu.

















Tinggalkan Balasan